Tidak boleh berdoa minta cerai

Tidak boleh berdoa minta cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES penceraian membabitkan artis atau selebriti menjadi bahan bualan hangat dan tumpuan ramai sejak kebelakangan ini. Ini memandangkan belum habis satu kes didengar di mahkamah syariah, satu lagi pasangan daripada golongan berkenaan memfailkan perceraian.

Hakikatnya, peningkatan kes perceraian di negara ini tidak kiralah golongan mana pun bermula daripada sekecil-kecil masalah sehinggalah disebabkan faktor kecurangan.

Namun, bukan mudah untuk menuntut cerai walaupun ia dibolehkan dalam Islam dengan sebab-sebab tertentu. Pada masa sama, mengumumkan perceraian juga ada adab-adab yang perlu dijaga.

Penceramah bebas, Ustaz Effendi Hamid berkata, pasangan yang bercerai masih perlu menjaga aib masing-masing walaupun bukan lagi suami isteri.

“Pemberitahuan kepada orang lain juga perlu dilakukan dalam keadaan beradab dan bukanlah untuk ditularkan dengan tujuan mengaibkan atau memburukkan mana-mana pihak. Pemberitahuan ini sekadar untuk mengelakkan fitnah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Effendi, sekiranya seseorang itu mahu menghebahkan berita penceraian dengan tujuan untuk membuka aib, hukumnya jelas adalah haram.

“Sebagai contoh seseorang itu kata, saya tahu dalam dan luaran dia dan dia tidak boleh mendatangkan zuriat. Ini mengaibkan dan haram sama ada sebelum perceraian atau selepas perceraian,” jelasnya.

Mengulas mengenai hukum berdoa agar bercerai pula Effendi berkata, perkara tersebut berkait rapat dengan meminta daripada Allah SWT perkara yang buruk.

“Ia kembali kepada hukum berdoa. Kita diharamkan berdoa yang buruk-buruk. Jadi adakah mendoakan supaya berlaku perceraian doa yang baik atau doa yang buruk?

“Ini adalah perkara buruk sebab bercerai perkara makruh yang paling dimurkai Allah SWT. Allah SWT tidak suka apabila pasangan suami isteri itu bercerai. Jadi, mendoakan berlaku perceraian adalah tidak patut datang daripada orang Islam. Ia jelas menunjukkan doa bercerai haram,” terangnya.

Tambah Effendi yang juga Pengetua Tahfiz Madrasah An-Nuur, seseorang itu boleh berdoa dan meminta sesuatu yang lebih baik atau petunjuk daripada Allah SWT, supaya perkara itu jika berterusan tidak memberi kemudaratan dalam hidupnya.

“Antara doanya adalah sekiranya berlaku perceraian ini baik untuk aku dan anak-anak maka tetapkan apa yang terbaik untuk kami dan sekiranya kami kekal sebagai suami isteri dan inilah yang terbaik, maka tetapkan ia untuk kami,” jelasnya. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya