Menjaga alam semula jadi satu tuntutan - Utusan Malaysia

Menjaga alam semula jadi satu tuntutan

USTAZ MOHD. HISYAMUDDIN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAM memberi penekanan serius kepada umatnya supaya saling memulihara dan melindungi alam semula jadi yang merupakan kurniaan atau nikmat Allah yang agung.
Ini kerana alam semula jadi salah satu unsur terpenting dalam aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi.
Imam Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, Ustaz Mohd. Hisyamuddin Zakaria, 32, berkata, menjaga alam semula jadi adalah satu tuntutan sebagai seorang Muslim, selain bertanggungjawab mengurus dan memulihara bumi.
Menurutnya, kesedaran itu penting dalam memastikan alam semula jadi tidak diusik dengan rakus sehingga menjejaskan keseimbangan ekosistem.
Jelasnya, bumi ini bukan milik manusia untuk melakukan sesuatu tindakan secara sesuka hati tetapi ia hak milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk lain.
“Sebagai seorang Muslim, kita perlu tahu memulihara alam semula jadi adalah seperti menjaga agama, nyawa dan harta serta keturunan,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Mohd. Hisyamuddin memberitahu, kerosakan alam semula jadi juga menjejaskan kehidupan manusia, malah haiwan juga kehilangan tempat berlindung.
Katanya, manusia dan alam semula jadi sememangnya saling memerlukan dan perlu wujud dalam keadaan seimbang.
Malah, tambahnya, Nabi Muhammad SAW juga mengajar umatnya sentiasa melindungi tumbuhan dan haiwan. Daripada Anas, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim pun yang menanam pokok atau mengusahakan pertanian lalu burung, manusia atau binatang memakan daripadanya kecuali akan menjadi sedekah untuknya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sehubungan itu, katanya, setiap Muslim perlu saling melindungi alam sekitar dengan tidak melakukan kemusnahan seperti menebang pokok, mencemarkan sungai dan udara secara sewenang-wenangnya serta tidak terkawal.
Tegasnya, manusia tidak berhak merosakkan sumber alam kerana segalanya adalah milik Allah.
Ini kerana, jelasnya, ia selari dengan firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan (al-Qasas: 28: 77).
Bagaimanapun, katanya, walaupun banyak peringatan diberikan oleh Allah, namun manusia tetap lalai sehingga sanggup merosakkan alam dengan rakus dan memberi kesan buruk kepada manusia.
“Kejadian banjir besar dan tanah runtuh serta hakisan pantai yang sering berlaku sekarang antara kesan daripada kerosakan alam semula jadi,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berbangga apabila terdapat usaha dijalankan yang dijalankan oleh jabatan dan agensi kerajaan dalam memulihara alam semula jadi.
Katanya, antara usaha murni yang dilaksanakan adalah Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula dari 2021 hingga 2025 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
“Dalam agama Islam, amalan menanam pokok sangat dipandang mulia dan ia adalah satu sedekah jariah dan amal soleh berpanjangan pahalanya kepada sesiapa yang menanam pokok,” jelasnya.

MOHD. HISYAMUDDIN ZAKARIA
» Lahir: Marang, Terengganu – 1991
» Pendidikan: Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Institut Pengajian Islam, Kemaman, Terengganu
» Jawatan: Imam Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu
» Isteri: Siti Nur Hafizah Ali

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya