Rujuk pakar agama, bukan ‘ustaz Google’ - Utusan Malaysia

Rujuk pakar agama, bukan ‘ustaz Google’

IBRAHIM Istar Mat Jat menunjukkan antara kitab lama yang sering menjadi rujukannya semasa berceramah agama ketika ditemui di Kampar, Perak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYELITKAN unsur lawak atau humor atas niat untuk menarik lebih ramai yang hadir ke majlis ilmu agama.
Itu cara dilakukan oleh ustaz Ibrahim Istar Mat Jat, penceramah agama yang sering mendapat jemputan mengadakan majlis ilmu di masjid seluruh Perak.
Guru agama berusia 80 tahun itu mengakui tidak menolak pendekatan unsur jenaka yang tidak keterlaluan dalam menyampaikan ilmu agama, yang disifatkan sebagai satu pendekatan menarik lebih ramai orang ke masjid.
Katanya, cara itu sedikit sebanyak berkesan dalam menyampaikan ilmu agar yang mendengarnya tidak bosan.
“Pelbagai cara boleh digunakan untuk menarik orang datang mendengar ceramah atau majlis ilmu. Ada yang boleh menyanyi menggunakan kelebihan itu sebagai satu tarikan, yang penting orang datang ke majlis kita mendengar apa yang hendak kita sampaikan.
“Kalau betul-betul, ini boleh menarik orang. Apabila kita selitkan unsur jenaka, ini bukan soal tiada adab tetapi untuk menarik orang mendengar, jadi tidaklah yang mendengar bosan sampai terlelap, bagilah ketawa sedikit, kalau ada unsur jenaka pun tidaklah lari daripada matlamat pengajaran ilmu kepada masyarakat.
“Apatah lagi cara dan budaya belajar agama sudah berbeza sekarang, dulu saya belajar agama, gurunya begitu serius, mahu bertanya pun tak ada semasa belajar, tetapi sekarang boleh bertanya semasa belajar,” katanya.
Menetap di Kampar, Perak, Ibrahim Istar merupakan seorang pesara guru, menerima pentauliah mengajar agama daripada pihak berkuasa agama Islam Perak selepas bersara daripada pekerjaannya sebagai guru.
Menerima pendidikan agama dengan belajar terus daripada beberapa guru agama terkemuka di negeri ini, Ibrahim Istar menerima jemputan berceramah mengenai fiqh, ilmu tauhid, tasawuf dan pengajian kitab, mengikut permintaan.
Katanya, dalam menyampaikan ilmu agama, beliau menggunakan media sosial iaitu membuat live di Facebook ketika sesi pengajian agama.
“Alhamdulillah, setakat ini banyak jemputan majlis ilmu yang saya terima dan ini menunjukkan masyarakat sebenarnya mahu belajar agama.
“Namun ada ketikanya tidak ramai yang dapat hadir ke masjid untuk mendengar ceramah agama tetapi saya tetap mengadakan majlis ilmu.
“Biasanya setiap majlis ilmu yang saya buat, saya buat juga live di Facebook agar mereka yang tidak dapat ke masjid pun dapat ilmu. Saya buat sendiri live di Facebook, cara ini berkesan untuk berdakwah.
“Namun lebih baik sekiranya masyarakat dapat hadir memenuhkan majlis ilmu di masjid cara ini lebih baik malah dikira berjuang di jalan Allah sehingga Nabi berkata, siapa yang keluar dari rumah menuntut ilmu dan meninggal dunia adalah mati syahid,” katanya.
Terkenal dengan ceramahnya yang menggunakan loghat Perak, Ibrahim Istar berharap masyarakat terus mendalami agama dan mencari ilmu agama sebagai panduan hidup.
Katanya, apatah lagi pada era dunia tanpa sempadan, ilmu dan pengetahuan agama boleh diperoleh dengan mudah termasuk menerusi media sosial.
Namun, beliau mengingatkan setiap ilmu atau maklumat mengenai agama Islam bersumberkan media sosial perlu dirujuk kepada ilmuwan agama, bukan diambil secara semberono.
“Bukan semua ilmu atau maklumat mengenai agama Islam yang terdapat di media sosial tidak boleh digunakan, kalau betul sesuatu ilmu itu, maka ia boleh diamalkan, cuma kenalah rujuk ustaz yang sebenar, jangan jadi ‘ustaz Google’,” katanya.
Mempunyai seorang isteri, dikurniakan tujuh anak namun seorang telah meninggal dunia dan 18 cucu, Ibrahim Istar berkata, dia mengutamakan pendidikan agama untuk anak-anaknya.
Kata beliau, semua anaknya bersekolah biasa sehingga darjah enam dan selepas itu meneruskan pengajian dalam bidang agama.
“Saya memberikan asas agama kepada anak-anak, sejak usia muda lagi agar mereka mempunyai pengetahuan agama yang secukupnya untuk hidup mereka,” ceritanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN