Cik Bunga tak tahulah kalau ada mana-mana studio atau pejabat rekod label lain yang membenarkan perkara terkutuk sebegini berlaku di tempat mereka. Nak tuduh semua pun tak molek.
Tetapi spesifik satu rekod label ini memang sengaja Cik Bunga tujukan. Boleh saja Cik Bunga tulis nama rekod label yang mana di sini. Tetapi malu nanti, silap-silap tak beroperasi lagi.
Nak dijadikan cerita, ada sumber beritahu Cik Bunga, artis-artis muda yang bernaung di bawah rekod label ini selalu angkut kekasih lepak di pejabat tersebut termasuk tidur di situ.
Kononnya, pada mereka, tak mengapa sebab ‘bos’ mereka pun buat perkara yang serupa, angkut skandal masuk dan buat perkara tak baik di situ.
Sekali dengar, Cik Bunga pun keliru, itu pejabat rekod label untuk menguruskan artis atau pejabat itu dibuka untuk dijadikan sarang maksiat?
Kalau bos mereka pun buat perkara yang sama, mana tidaknya artis-artis itu pun tak ikut sama. Tetapi, kot iya pun, masing-masing tak akanlah tak ada akal? Nak tiru atau ikut perkara yang sah-sah tak bermoral dan hina begitu buat apa?
Sudahlah kerjaya seni pun entah ke mana, entah boleh betul-betul dipanggil artis atau sekadar jadi penyemak industri seni, Cik Bunga makin keliru di sini. Kalau nak panggil Jabatan Agama Islam untuk serbu, boleh saja.
Masing-masing malu nanti. Mana nak letak muka, mana nak jawab dengan keluarga di kampung kerjaya tak menjadi lagi. Haih… masing-masing masih muda. Sayang kalau bakat sebenar dipersiakan.
Nasihat Cik Bunga, berhati-hatilah dalam setiap langkah. Kalau kontrak sudah habis dengan rekod label tersebut, baik angkat kaki segeralah. Gerak sendiri saja lebih baik atau cari rekod label lain yang lebih serius. – UTUSAN










