Umum tahu, bulimia adalah salah satu jenis gangguan pemakanan serius yang berlaku terhadap sesetengah individu. Kebiasaannya, pesakit bulimia berpotensi untuk mengeluarkan kembali makanan tersebut secara paksa jika mereka makan dengan berlebihan.
Bulimia juga berlaku akibat gangguan mental dan emosi pesakit yang sering berasa kurang senang terhadap fizikal dan bentuk tubuh badan yang dimilikinya meskipun terlihat normal.
Siapa sangka, perkara ini juga dialami oleh beberapa figura hebat yang gah namanya namun, terpaksa menanggung derita penyakit tersebut. Berikut adalah lima selebriti Hollywood yang pernah menderita kerana bulimia:-
Portia de Rossi
Penderitaan Portia de Rossi bermula pada usianya 12 tahun ketika menjadi seorang model. Dedah Portia perkara itu dialaminya akibat tekanan imej tubuh badan dalam industri hiburan di sana.
Lebih menyentuh hati, dirinya pernah tidak makan selama 10 hari kerana disuruh oleh agen modelnya sebelum muncul di pentas peragaan.
Setelah acara tersebut, dia berasa cemas dan mulai mengambil makanan kegemarannya dalam jumlah besar, lalu memuntahkan kembali untuk menghilangkan rasa bersalah.
Lily Collins
Pernah membintangi filem To The Bone, pelakon Lily Collins mengakui kejayaannya membawakan watak pesakit bulimia menerusi naskhah itu bertukar mimpi ngeri dalam kehidupannya.
Dedah Lily, watak itu secara tidak langsung membuat dirinya tidak mampu mengawal diri untuk melakukan perkara yang sama di dunia nyata.
Malah, dia juga menceritakan bagaimana tekanan untuk menjadi ‘sempurna’ di Hollywood membuatnya terperangkap dalam kitaran pemakanan tidak sihat.
Elton John
Ikon muzik dunia, Sir Elton John, mendedahkan beliau pernah mengalami bulimia ketika di puncak kerjayanya pada era 80-an. Gangguan itu berpunca daripada tekanan emosi dan keinginan untuk mengawal kehidupan.
Kini pulih sepenuhnya, beliau aktif dalam kempen kesedaran kesihatan mental dan menggesa orang ramai agar tidak malu mendapatkan bantuan.
Demi Lovato
Penyanyi dan pelakon terkenal, Demi Lovato mendedahkan dirinya mengalami bulimia sejak usianya remaja.
Terbuka berkongsi perkara tersebut, penyanyi lagu Heart Break itu mengakui penyakit tersebut memberikan tekanan hebat kepada gaya hidupnya yang pada akhirnya mengganggu cara pemakanannya.
Demi juga pernah berkongsi perkara ini menerusi dokumentari yang berjudul Simply Complicated selain mengakui melawan bulimia adalah antara cabaran terbesar dalam hidupnya.
Lady Gaga
Meskipun auranya terlihat luar biasa, ramai yang tidak menyangka, penyanyi versatile, Lady Gaga juga pernah berdepan dengan masalah bulimia dan anoreksia sejak remaja.
Kata Lady Gaga, perkara itu berlaku kerana tekanan industri hiburan terhadap bentuk badan sangat memberi kesan kepada mental dan emosinya.
Bukan itu sahaja, penyanyi lagu Bad Romance ini juga mendedahkan dia pernah memaksa diri muntah setiap hari kerana berasa dirinya tidak cukup baik.