PETALING JAYA: Penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri dan penggubalan dana politik perlu dilaksanakan seiring kerana kedua-duanya berperanan memperkukuh prinsip demokrasi berparlimen negara.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, pembaharuan institusi itu penting bagi memastikan sistem politik negara bergerak ke arah tadbir urus yang lebih telus dan berakauntabiliti.
Katanya, cadangan mengehadkan tempoh jawatan pemimpin tertinggi negara bukanlah perkara asing memandangkan ia telah lama diamalkan di beberapa negara lain tanpa menjejaskan kestabilan politik.
“Banyak negara telah mengehadkan jawatan tertinggi seperti Presiden yang dipilih rakyat setakat dua penggal seperti Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Filipina.
“Tiada masalah jika Malaysia juga menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri. Cuma di Malaysia, Perdana Menteri dipilih dalam kalangan ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu, Perdana Menteri yang telah memegang jawatan selama dua penggal elok tidak bertanding lagi sebagai Ahli Parlimen bagi mengelakkan situasi kurang selesa untuk terus berada di Dewan Rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Yaacob berkata, cadangan itu perlu difahami dalam kerangka demokrasi berparlimen yang menuntut keabsahan kepimpinan melalui sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, peruntukan had tempoh jawatan tidak memberikan jaminan automatik untuk seseorang Perdana Menteri kekal berkuasa sekiranya hilang kepercayaan majoriti wakil rakyat.
“Pemegangan jawatan maksimum dua penggal tidak bermakna Perdana Menteri akan kekal dalam jawatan untuk tempoh tersebut.
“Sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, beliau tetap perlu meletakkan jawatan walaupun tempoh pemegangan jawatan masih ada,” katanya.
Mengulas mengenai penggubalan dana politik pula, Yaacob Md. Sam berkata, ketiadaan undang-undang khusus berkaitan perkara itu menyebabkan urusan kewangan parti politik sukar dipantau secara menyeluruh dan telus.
Katanya, dana politik perlu dikawal selia melalui perundangan bagi memastikan semua sumbangan dan tajaan yang diterima parti-parti politik direkodkan secara sah serta boleh diaudit oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Dana politik pula akan dapat mewujudkan keadaan yang lebih telus dalam akauntabiliti parti-parti politik dalam penerimaan tajaan dan derma.
“Perkara ini menjadi lebih penting terutama jika tajaan tersebut dibuat oleh pihak-pihak dari luar negara mahupun dari dalam negara.
“Dengan itu pendaftar pertubuhan akan mempunyai maklumat lebih jelas ke atas punca kewangan parti-parti politik di negara kita,” katanya.-UTUSAN.










