JERANTUT: Longkang sedalam hampir satu meter di lorong berhampiran kedai alat peranti dan pasar raya di Bandar Baharu Inderapura, di sini membimbangkan penduduk apabila dibiarkan tanpa penutup sejak beberapa tahun lalu.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, keadaan longkang yang terbuka itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah berbahaya kepada orang ramai termasuk warga emas dan kanak-kanak yang berulang-alik ke premis berdekatan.
Seorang peniaga, N. Amutha 49, berkata, dia sendiri pernah menyaksikan seorang warga emas dan kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang berkenaan.
“Kawasan ini sibuk dengan pelanggan. Kos untuk menutup longkang tidaklah besar tetapi kesannya sangat besar kepada keselamatan,” katanya.
Penduduk tempatan, Mohd. Fazil Misni, 40, pula hairan mengapa isu tersebut tidak ditangani segera walaupun sudah berlarutan lama.
“Tahun lalu saya lihat longkang ini masih tidak bertutup. Orang ramai terpaksa berhati-hati setiap kali melintas,” ujarnya.
Menurutnya, Jerantut yang pernah dinobatkan antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada 2025 dan menjadi persinggahan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan sepatutnya menitikberatkan kemudahan asas kepada penduduk.
“Ini semua demi keselesaan penduduk serta imej bandar Jerantut yang sering disinggahi pelancong,” katanya.-UTUSAN.










