PERFILEMAN merupakan bidang bersiko tinggi yang merekodkan banyak kes kemalangan jiwa membabitkan pelakon dan kru penggambaran.
Hakikat ini membuka mata masyarakat dunia dan mengubah persepsi banyak pihak yang selama ini menganggap filem dan drama sebagai satu bentuk hiburan semata-mata.
Realitinya, ramai pekerja filem yang berdepan risiko, ada yang terbunuh, mengalami penyakit dan cedera sepanjang proses penggambaran.
Berikut empat filem yang menjadi rujukan dan mencorak sejarah dunia perfileman kerana terhasil dengan darah dan keringat penggiatnya.
1) ROAR
Seramai 70 kru mengalami kecederaan sepanjang pembikinan filem Roar (1981) yang dianggap filem yang paling berisiko pernah dihasilkan dalam sejarah perfileman dunia.
Cerita ini, yang mengambil tempoh 11 tahun untuk disiapkan diinspirasikan daripada pengalaman percutian pasangan suami isteri, Tippi Hedren dan Noel Marshall ke Afrika sekitar era 70-an.
Pasangan berkenaan dianggap gila kerana mengumpulkan 100 haiwan liar termasuk singa dan harimau bagi menjayakan filem ini.
Kira-kira 70 kes serangan haiwan liar dilaporkan sepanjang pembikinan filem tersebut, membabitkan kru penggambaran termasuk salah seorang pelakonnya, Melanie Griffith yang terpaksa melakukan pembedahan akibat diserang salah seekor haiwan berkenaan.
2) THE CONQUEROR
Penggambaran filem ini dilakukan sekitar 220 kilometer (km) dari bekas tapak ujian nuclear di St. George, Utah.
Ramai pelakon dan kru penggambaran disahkan menghidap kanser beberapa tahun selepas filem itu disiapkan.
Kira-kira 91 daripada 220 pelakon dan kru penggambaran filem The Conqueror menghidap kanser dengan 46 daripadanya meninggal dunia akibat penyakit tersebut.
Antara yang terkesan adalah pelakon kelahiran Mexico, Pedro Armendariz yang disahkan menghidap kanser pada tahun 1960 selain pengarahnya, Dick Powell yang juga menghidap penyakit sama tiga tahun kemudian.
Manakala pelakon Utama filem itu iaitu Susan Hayward, John Wayne dan Agnes Moorehead meninggal dunia akibat kanser pada tahun 1970.
3) TITANIC
Filem ini, yang dihasilkan pada tahun 1997 juga dianggapkan antara projek filem yang paling banyak merekodkan insiden kemalangan sepanjang pembikinannya.
Beberapa pelakon mengalami patah tulang dan rosak organ dalaman kerana terjatuh dari aras tinggi ketika menjayakan babak aksi dalam filem ini.
Pelakon, Kate Winslet pula mengalami radang paru-paru ketika menjayakan babak dalam air. Beliau juga dilaporkan hampir lemas ketika menjayakan filem tersebut.
Selain itu, seramai enam individu, yang terdiri daripada pelakon an kru penggambaran mengalami keracunan makanan pada hari terakhir penggambaran filem tersebut.
4) THE SWORD OF TIPU SULTAN
The Sword of Tipu Sultan merekodkan angka kematian paling tinggi dalam sejarah perfileman dunia dengan 62 rekod kemalangan jiwa direkodkan sepanjang penggambaran filem ini.
Jumlah tersebut melibatkan dua pelakon tambahan dan kru penggambaran yang meninggal dunia kerana terperangkap ketika berlaku kebakaran di studio penggambaran filem berkenaan.
Meskipun terselamat, pengarah dan pelakon, Sanjay Khan terpaksa menjalani 72 pembedahan dan menghabiskan 13 bulan di hospital akibat kecederaan yang dialaminya.