Berenang merupakan antara aktiviti kegemaran ramai dalam kalangan masyarakat. Namun, ada juga individu yang takut untuk melakukan aktiviti air seperti berenang.
Lebih menarik lagi, berenang juga mempunyai banyak manfaatnya terhadap fizikal dan mental selain tidak perlu mengeluarkan kos yang terlalu tinggi.
Seperti pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman, dia berjaya menangkis ketakutannya untuk melakukan aktiviti air tersebut demi mengisi masa lapang.
Kata Amira, berenang mampu membuat dia berasa lega walaupun tidak melakukan sebarang senaman yang ekstrem.
“Hobi saya ialah berenang. Kalau saya ada masa lapang memang saya akan berenang sebab saya rasa bila dalam air saya rasa lega.
“Air adalah tempat untuk saya rasa tenang lebih-lebih lagi kalau berenang pada waktu malam. Memang seronok dan puas sebab dia boleh keluarkan peluh juga,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah penyanyi yang berusia 32 tahun itu, aktiviti tersebut juga kerap dilakukannya sejak dia masih bergelar pelajar lagi.
“Saya minat berenang sudah lama daripada zaman saya belajar lagi. Saya masih meminati hobi ini sehingga kini,” jelasnya.
Selain mahu mengekalkan stamina, Amira juga menyifatkan aktiviti ini menjadikan dirinya lebih berdisiplin untuk menjaga kesihatan tubuh badan dengan bimbingan guru kelas renangnya.
“Disebabkan hobi saya ini juga satu senaman, saya memang kena buat untuk kekalkan stamina. Saya tetap akan lakukannya walaupun saya penat dan jadual penuh.
“Saya juga ada jurulatih peribadi, dia selalu ingatkan saya untuk beri jadual supaya konsisten lakukan aktiviti itu. Hobi ini secara tidak langsung membuatkan saya jadi seorang yang disiplin untuk bersenam,” katanya.
Setiap aktiviti pasti ada cabaran dan risiko yang bakal dihadapi, kata Amira, pada awalnya dia juga fobia terhadap kawasan air yang dalam.
“Mencabar, dulu saya takutkan kawasan air yang dalam. Saya tidak pernah terfikir saya akan berenang di kawasan yang dalam.
“Tapi, sekarang saya sudah berani dan seronok berenang di kawasan yang dalam sebab saya dapat cuba apa yang diajar oleh guru renang saya.
“Memang mencabar pada awalnya tapi saya berjaya atasi ketakutan itu sebab guru renang saya garang. Walaupun saya takut, saya tetap buat sebab saya suka berada dalam air,” ujarnya.
Ditanya mengenai keistimewaan aktiviti ini, penyanyi lagu Hati Hati itu mengakui berenang mampu mengurangkan tekanan dalam dirinya selain boleh memberikan ketenangan terhadap emosi dan minda.
“Berenang ini boleh buat saya hilangkan stres. Siapa tidak percaya boleh cuba. Pada saya, berenang mampu melegakan setiap masalah terutamanya dari segi mental dan fizikal. Bila kita sedih dan pergi beriadah, perasaan itu jadi lain,” jelasnya.








