Biarlah low-profile, saya pun tak pening - Utusan Malaysia

Biarlah low-profile, saya pun tak pening

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ALAMAK, janganlah kak Athirah, saya tak mahu komen benda-benda begitu, takutlah!”

Sempat kedengaran jeritan kecil si penyanyi manis ini apabila diusik nakal dengan pertanyaan bagaimana sekiranya dia terjebak dengan cinta lelaki berstatus suami orang, satu isu yang sangat ‘panas’ diperkatakan kebelakangan ini, di mana-mana pun.

Mengenali penyanyi ini sejak tahun 2013 dia mula bertatih menjadi anak seni dengan menyertai program Akademi Fantasia (AF), memang begitulah Amira Othman, tiada apa yang berubah.

Kalau diminta memberi pandangan mengenai isu artis-artis lain, atau apa sahaja yang membabitkan orang lain, cukup takut untuk dirinya membuka mulut, enggan tunjuk pandai.

Baginya, biarlah dirinya senyap sunyi daripada sebarang isu kontroversi atau dikata ‘artis sendu’ sekali pun, asalkan hidup dan kerjayanya tidak dicemari dengan perkara-perkara tidak bermoral apa lagi menyentuh hal peribadi orang lain.

“Saya tahu, jadi anak seni ini memang tak lari daripada kontroversi. Kalau minta saya komen apa pun pasal isu orang lain saya memang sangat-sangat takut dan elak. Satu sebab, saya tak tahu apa takdir diri di masa depan.

“Jadi, apa yang saya boleh buat untuk diri adalah jangan sibuk mencampuri hal orang. Namun, tidak salah untuk mengambil sebarang perkara semasa yang berlaku itu sebagai satu pengajaran,”katanya.

Jelas Amira, suatu ketika dahulu, dia mungkin lebih mudah mengeluarkan sebarang pandangan umum namun kini lebih berhati-hati.

“Kalau dulu mungkin kita sebagai orang muda, laju sahaja nak komen semua benda. Kita lupa yang diri kita ini pun manusia, nanti akan berkahwin, ada anak, ada keturunan. Semakin meningkat usia ini, saya nak elak untuk berlebihan-lebihan bercakap atau tak akan cakap sesuatu isu itu walaupun hati saya sedang dirobek kesedihan.

“Saya takut diri akan diuji dengan percakapan kita sendiri. Mudah-mudahan saya dilindungi perkara sebegitu dan berharap saya mampu menjaga diri sendiri. Itu sebablah saya tak begitu suka pertontonkan sangat hal peribadi sendiri di mata umum.

“Saya tak pening. Bila kita kongsikan sesuatu di media sosial misalnya, macam-macam respons orang bakal kita terima dan antaranya mungkin negatif. Kita sendiri pun tak dapat nak puaskan hati semua orang, jadi lebih baik hidup ‘low-profile’ saja,”ujarnya.

Tambah Amira, dia memilih jalan itu kerana enggan menimbulkan perbalahan dengan sesiapa selain itu adalah satu cara untuk dirinya menjaga hati sendiri.

Ini kerana, katanya, amat mustahil untuk mengelak daripada tidak berasa apa-apa sekiranya dihujani dengan kecaman dan kritikan orang ramai terhadap sesuatu isu.

Ujian manusia berbeza-beza

Mengajaknya berbicara mengenai isu perkahwinan bukan satu jaminan kebahagiaan, Amira yang berusia 31 tahun mengakui akan perkara tersebut meskipun sedar dirinya masih belum menyandang status seorang isteri.

Pun begitu, jelasnya, tidak adil untuk berasa bimbang atau takut melangkah ke alam perkahwinan hanya kerana melihat banyaknya kisah keruntuhan rumah tangga yang berlaku kini.

“Kalau nak cerita takutnya nak berkahwin ini, lagi-lagi di zaman media sosial sekarang, sebenarnya tak adil juga dengan hanya melihat kisah orang lain. Harus kita tahu, semua orang ada ujian dan takdir hidup masing-masing yang berbeza.

“Bukan saya tak bimbang langsung atau tak yakin hendak kahwin bila dengar macam-macam cerita rumah tangga orang. Cuma saya fikir, macam manalah saya punya bahagian pula nanti? Maksud saya takdir.

“Itulah sebab kita kena percaya pada qada dan qadar. Kita dah doa, dah berusaha, jadi yang lain-lain serah sahaja pada Alllah SWT. Nak cakap lebih pun, kita sendiri sekarang pun sedang diuji.

“Mungkin tak sama ujiannya dengan orang lain. Takdir kita pun berbeza. Jadi, tak mahulah cakap apa-apa. Baik soal jodoh, anak, kebahagiaan,”katanya.

Berpegang pada prinsip, jalani hidup ini dengan jalan cerita yang telah ditulis oleh-Nya, kata Amira, dia cuma berdoa dan berharap sekiranya dilanda ujian, hati, jiwa,mental dan fizikalnya kekal kuat dan rasional.

“Ya, apa yang didoakan, mudah-mudahan tak terduduk sahaja jika diuji. Kita dah serah bulat-bulat pada Allah. Melalui fasa hidup ini harapnya saya lebih tabah, kalau melalui nikmat, saya tak lupa diri.

“Perkara ini penting sebab adakala bila kita peroleh sesuatu nikmat pun boleh melalaikan. Jadi, saya doa agar bila diuji, ia bukan ujian yang memudaratkan dan melemahkan diri,”katanya.

Kagumi Amir Jahari

Mengikuti perkembangannya kini, Amira yang baru sahaja tampil dengan single berjudul Sampai Mimpi meluahkan rasa seronok berpeluang menjalin kerjasama dengan komposer, Amir Jahari dan AG Coco.

Malah, apabila Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung pada awal Mac lalu menyaksikan kemenangan berpihak kepada Amir, Amira antara penyanyi yang bersorak gembira dengan kejayaan komposer berkenaan.

Luahnya, Amir adalah antara anak seni yang sepatutnya sudah lama diangkat dalam industri ini kerana mempunyai tenaga dan ilham luar biasa dalam soal muzik.

“Bila dah lancarkan lagu Sampai Mimpi, beberapa bulan kemudian adalah musim AJL. Dapat tahu Amir meraih kemenangan pada malam itu, saya rasa puas. Mengenali dia sejak 11 tahun lalu, dia memang saya anggap seorang seniman.

“Dia buat lagu bukan kerana duit semata-mata. Dia berjiwa besar dengan muzik. Tetapi mungkin kadangkala orang begini ramai yang terlepas pandang dalam menilai. Sedangkan bagi saya, dia ada ‘barang’, dia tak kosong.

“Dulu, kalau lepak dan dia main gitar, saya teliti yang lagu-lagunya ada melodi luar biasa dan ada mesej. Pendek kata dalam bahasa kasar, Amir tak hasilkan lagu-lagu ‘bodoh’ atau tipikal. Namun sayang dia tidak diangkat sebelum ini,”katanya.

Pada masa sama, Amira meluahkan, sebagai penyanyi, hakikatnya bukan senang untuk mencari dan mendapatkan sebuah karya lagu yang sedap dan bermutu.

Justeru, apa yang dimiliki oleh komposer seperti Amir, adalah apa yang diperlukan oleh industri dalam menghasilkan lebih banyak karya lagu dan muzik bertaraf tinggi.

“Nak cari lagu yang sedap dan ada kualiti, sumpah tak senang! Kalau seseorang penyanyi itu jumpa lagu sedap, memang rezeki dia. Pendek kata, pakej sempurna dalam sesebuah naskhah lagu itu memang susah nak cari.

“Sebabnya, kita nak sampaikan satu seni bukan hanya nak popularkan lagu itu sahaja. Kita nak mesejnya juga sampai seiring kepada pendengar. Maka apabila dapat karya Sampai Mimpi daripada Amir, saya adalah orang yang sangat gembira.

“Lagu itu ada mesej yang meruntun hati, tentang kisah anak yatim yang bagi saya sebuah bingkisan lagu yang lain daripada lain. Paling penting, isinya begitu bermakna,”katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN