KUALA LANGAT: Pam mudah alih dan kerja-kerja membaik pulih sementara ban Sungai Langat yang pecah dilaksana dan akan disiapkan dalam tempoh dua hari bagi membolehkan limpahan banjir dekat Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini, dikeluarkan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, rebakan berlaku di sepanjang kira-kira 50 meter ban di Sungai Langat yang sedang dalam proses pengukuhan dimulakan baru-baru ini.
Katanya, terdapat panel-panel Sistem Precast Skematik (SPS) yang baru tiba di kawasan berkenaan hari ini bagi pengukuhan di sepanjang 150 meter ban tersebut.
“Kita akan tutup bahagian yang pecah itu dahulu dengan tanah dan batu, kemudian saya minta supaya ditambah dengan sheet pile di bahagian depan untuk melindungi daripada arus.
“Sebab ban yang pecah itu terletak di kawasan selekoh yang mana arus sungai di kawasan itu lebih deras. Kita lindung kawasan di ban tersebut kemudian terus kita pasang panel-panel SPS. Kemudian saya nasihat supaya selepas pasang terus penuhkan tanah di bahagian belakang (backfill),” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau banjir Kampung RTB Bukit Changgang, di sini, hari ini.
Izham menambah keseluruhan projek pengukuhan ban tersebut dijadualkan siap pada Januari tahun depan dan menelan belanja sehingga RM4 juta yang merupakan sebahagian daripada RM7.7 juta diluluskan oleh kerajaan negeri termasuk di Kuala Selangor.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan paras banjir di Kampung tersebut didakwa semakin meningkat sejak ban Sungai Langat berhampiran kawasan tersebut pecah kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, jalan-jalan utama di perkampungan tersebut dilihat sudah pun digenangi air walaupun cuaca cerah ketika ini susulan limpahan air dari Sungai Langat yang berada pada paras amaran, 4.18 meter.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor terpaksa membelanjakan sehingga RM200,000 selepas berlaku kecurian kabel pada kunci air di kampung berkenaan menyebabkan pam skru tidak dapat berfungsi.
“Kita dapati penceroboh memotong pagar dan mencuri kabel di situ. Kabel terbabit tidaklah panjang tetapi banyak sehingga menyebabkan pam skru tidak berfungsi. Bagaimanapun kabel baharu sudah pun tiba dan kerosakannya akan dibaiki.
“Kita akan berbincang dengan polis Selangor supaya ada satu tindakan dapat diambil bagi mencegah kecurian kabel. Selain itu antara cadangan dipertimbangkan adalah meletakkan kamera litar tertutup di kawasan kunci air tersebut,” ujarnya.
Menurut laporan Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga pukul 5.45 petang tadi, seramai 502 mangsa melibatkan 224 keluarga di kampung berkenaan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dekat Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang. – UTUSAN










