KOTA KINABALU: Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan sudah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri juga memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada penduduk terjejas di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan.
“Semua penduduk di kawasan yang dilanda banjir di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan serta kawasan berhampiran perlu sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga dan tidak sesekali mengambil sebarang risiko,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau turut meluahkan rasa simpati atas musibah banjir dihadapi penduduk yang disifatkannya sebagai satu ujian terutama bagi umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa.
“Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir. Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri,” katanya.
Daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan diisytihar sebagai kawasan bencana banjir bermula pukul 6 pagi semalam manakala beberapa kawasan di Sandakan turut dilapor mengalami musibah yang sama.
Setakat pukul 4 petang semalam, seramai 406 mangsa banjir dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah, mangsa paling ramai dipindahkan setakat ini ialah di Kota Marudu membabitkan seramai 290 mangsa.-UTUSAN.










