KUALA LANGAT: Keadaan tiga mayat rentung akibat kebakaran kilang dekat Kawasan Perindustrian Olak Lempit, Banting, di sini, malam tadi menyebabkan identiti dan jantinanya belum dapat dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bagaimanapun pihaknya mengesahkan penemuan ketiga-tiga rangka terbabit yang diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Susulan kejadian kebakaran, hasil pemeriksaan lanjut oleh bomba pada pukul 9.40 pagi tadi, di lokasi kejadian menjumpai tiga mayat dalam keadaan rentung yang mana identiti dan jantina belum dapat dikenal pasti.
“Ketika kejadian, kilang pertama terbakar yang menjadi lokasi penemuan mayat rentung itu tidak beroperasi. Ia terletak di hujung yang mula-mula terbakar. Ia tutup dan tidak beroperasi. Kemudian api menyambar ke kilang kedua yang beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya. punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan oleh polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan.
Kesemua mayat mangsa itu dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tiga mangsa rentung dan tinggal rangka ketika ditemukan dalam kejadian kebakaran empat buah kilang termasuk sebuah gudang dan premis pemproses minyak itu.
Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, ketiga-tiga mangsa itu ditemukan di Warehouse Pentas Flora, ketika pasukan bomba sedang membuat kerja-kerja overhauling selepas memadam kebakaran.
Menurutnya, kebakaran awal melibatkan dua bangunan kelas B berkeluasan 30,000 kaki persegi (kps) sebelum ia merebak ke dua kilang bersebelahan. – UTUSAN










