KUALA LANGAT: Sesi persekolahan bagi sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di lima buah sekolah rendah dan menengah serta sekolah agama dekat Sijangkang serta Kampung Medan, Telok Panglima Garang di sini terjejas akibat ribut semalam.
Sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan SK Kampung Medan serta SK Jalan Tanjung.
Tinjauan, Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati tiada pelajar yang hadir, sebaliknya kelima-lima sekolah tersebut dijaga oleh anggota Rela, polis dan pengawal keselamatan bagi mengelak daripada diceroboh.
Ini kerana, keadaan di sekolah berkenaan, termasuk hampir kesemua kelas dan kemudahan lain seperti kantin serta padang berada dalam keadaan tidak selamat bagi pengoperasian sekolah setiap hari.
Antara kerosakan yang dikesan berlaku kebanyakannya melibatkan kemusnahan bumbung di hampir kesemua blok termasuk kantin yang turut menyebabkan kerosakan pada perabot sekolah seperti meja serta kerusi pelajar dan guru.
SK Kampung Medan didapati mengalami kerosakan paling teruk kerana selain bumbung yang runtuh, terdapat sisa-sisa runtuhan seperti batu dan kaca bertebaran di tapak dataran, kelas, kantin dan padang.
Seorang pentadbir sebuah sekolah di situ berkata, sesi persekolahan akan ditutup sehingga kerja baik pulih selesai, sementara para pelajar pula akan menjalani pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).
“Berapa lama sekolah ini ditutup, itu saya tidak pasti. Apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) benarkan kami masuk bersekolah, baru kami beroperasi semula,” ujarnya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, beberapa kawasan sekitar Meru dan Sijangkang dilanda ribut dan puting beliung menyebabkan kerosakan teruk pada kediaman, sekolah, premis perniagaan dan kenderaan penduduk.
Malah, berdasarkan video tular dalam media sosial, ribu kuat disusuli puting beliung kira-kira pukul 4 petang menyebabkan kerosakan besar di Telok Panglima Garang termasuk meranapkan sebahagian bangunan SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SRA Kampung Medan.
Selain itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan runtuhan pada bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang yang mengakibatkan seorang pekerja cedera.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau memantau situasi ribut yang melanda terutama di kawasan berkenaan dan meneliti keadaan semasanya.
“Bantuan segera akan disalur kepada mangsa. PPS juga dibuka oleh Unit Bencana Daerah.
“Kerajaan negeri akan terus memantau dan meneliti keadaan semasa terutama kesan akibat hujan lebat dan ribut yang berlaku dalam tempoh beberapa hari ini.
”Doa saya buat semua mangsa agar diberikan kesembuhan dan keselamatan dari segala mudarat,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. – UTUSAN










