SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengumumkan bantuan kepada mangsa ribut terutama di Sijangkang, Kuala Langat selepas laporan insiden berkenaan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perincian bantuan itu akan dimuktamadkan selepas mesyuarat berkenaan bagi memastikan setiap mangsa yang terjejas menerima bantuan sewajarnya.
“Esok saya akan dapatkan angka sebenar dan selepas MMKN, kenyataan akan dibuat bagi menjelaskan beberapa perkara termasuk langkah susulan terhadap bencana ribut serta isu influenza di sekolah,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Beliau berkata, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) melalui yayasannya menyalurkan bantuan segera berjumlah RM400,000 kepada sekolah dan mangsa terlibat, selain peruntukan Tabung Bencana Negeri sebanyak RM500 bagi setiap rumah yang rosak.
“Bagaimanapun, saya percaya jumlah bantuan itu akan ditambah selepas penilaian semula dibuat esok,” katanya.
Amirudin berkata, kerosakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan pula dianggarkan menelan kos antara RM200,000 hingga RM400,000 bagi kerja-kerja pembaikan.
“Kementerian Pendidikan mengambil langkah awal menangani kerosakan di sekolah yang terjejas, manakala bagi rumah penduduk, kita perlu menilai semula jumlah sebenar yang rosak sebelum tindakan susulan diambil,” jelasnya.
Amirudin turut menyifatkan kejadian ribut kali ini antara yang paling buruk berlaku dalam tempoh tiga hingga empat tahun, berbanding kejadian sebelum ini yang lazimnya menimpa kawasan utara negeri seperti Sabak Bernam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd. Akmalrizal Radzi memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 18 individu daripada lapan keluarga.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang semalam, lima sekolah, sebuah dewan serta lebih 40 rumah dilaporkan rosak.
Antara kawasan terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Dewan Wawasan Batu 9, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang serta kawasan perumahan dan industri sekitar Taman Sijangkang Jaya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, beberapa kawasan sekitar Meru dan Sijangkang dilanda ribut dan puting beliung menyebabkan kerosakan teruk pada kediaman, sekolah, premis perniagaan dan kenderaan penduduk.
Selain itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan runtuhan pada bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang yang mengakibatkan seorang pekerja cedera. – UTUSAN










