KUALA LANGAT: Seramai 65 mangsa melibatkan 21 keluarga ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sijangkang, Klang dan Shah Alam.
Penempatan mangsa di PPS berkenaan selepas kediaman mereka terjejas akibat ribut dan puting beliung yang melanda di sekitar kawasan berkenaan yang turut menyebabkan kerosakan pada sekolah dan bangunan awam lain.
Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 42 mangsa melibatkan 12 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Meru.
Sementara di Sijangkang pula seramai 18 orang dari lapan keluarga ditempatkan di Dewan Harmoni Batu 7, Sijangkang dan di Shah Alam lima sekeluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman.
Pemindahan tersebut turut melibatkan penempatan lima warga emas, dua orang kurang upaya (OKU), 25 kanak-kanak dan seorang bayi perempuan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, beberapa kawasan sekitar Meru dan Sijangkang dilanda ribut dan puting beliung menyebabkan kerosakan teruk pada kediaman, sekolah, premis perniagaan dan kenderaan penduduk.
Malah, berdasarkan video tular dalam media sosial, ribu kuat disusuli puting beliung kira-kira pukul 4 petang menyebabkan kerosakan besar pada di Telok Panglima Garang termasuk meranapkan sebahagian bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.
Selain itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan runtuhan pada bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang yang mengakibatkan seorang pekerja cedera.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau memantau situasi ribut yang melanda terutama di kawasan berkenaan dan meneliti keadaan semasanya.
“Bantuan segera akan disalur kepada mangsa. PPS juga dibuka oleh Unit Bencana Daerah.
“Kerajaan negeri akan terus memantau dan meneliti keadaan semasa terutama kesan akibat hujan lebat dan ribut yang berlaku dalam tempoh beberapa hari ini.
”Doa saya buat semua mangsa agar diberikan kesembuhan dan keselamatan dari segala mudarat,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. – UTUSAN










