Pelajar tingkatan empat maut, rakan cedera

Pelajar tingkatan empat maut, rakan cedera

Pelajar maut
SEORANG daripada dua mangsa kemalangan maut selepas motosikal ditunggangi mereka hilang kawalan melanggar pembahagi jalan dekat Persiaran Sukan, Seksyen 13, di Shah Alam, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan empat maut manakala rakan sebayanya parah selepas motosikal dinaiki mereka berdua terbabas melanggar pembahagi jalan dekat Persiaran Sukan, Seksyen 13, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 16 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 sedang dalam perjalanan dari arah Bulatan Sukan menghala ke Pasar Raya Giant.

“Siasatan mendapati berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mereka hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan berhampiran premis Ramly Halal Mart menyebabkan kedua-duanya tercampak ke atas jalan.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pembonceng pula cedera di leher dan luka di kaki,” katanya, kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut sementara pembonceng pula dibawa ke hospital sama dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN