KLANG: Ayam, daging babi dan sirip ikan yu yang ditemukan dalam tujuh kontena berjumlah 148.56 tan metrik dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dalam dua kes berasingan dekat Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Utara di sini, baru-baru ini.
Pengarahnya, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kesemua makanan sejuk beku dan kering itu bernilai RM10.47 juta termasuk cukai itu cuba dibawa masuk antara Januari hingga bulan lalu sebelum dikesan sekitar 6 Februari hingga 9 Mac dalam Operasi (Op) Petasan.
Katanya, rampasan ayam dan daging babi sejuk beku masing-masing berjumlah 84 dan 28.9 tan itu dirampas pada 6 Februari membabitkan nilai termasuk cukai sebanyak RM1.09 juta dan RM924,160.
“Kemudian pada 12 Februari, 2 dan 9 Mac di Zon Bebas Pelabuhan Utara, JKDM merampas tiga kontena secara berasingan yang menyimpan sirip ikan yu kering berjumlah 35.66 tan dengan nilai dan cukai sebanyak RM8.24 juta.
“Kesemua makanan sejuk beku itu dibawa masuk antara 16 Januari hingga 7 Mac lalu dan dipercayai diimport tanpa permit yang sah. Sementara sirip ikan yu pula juga dibawa masuk tanpa permit di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES),” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pengimportan daging sejuk beku tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Ayam dan daging babi itu dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia sementara sirip ikan yu pula dari sebuah negara di Amerika Selatan. Sindiket dipercayai menggunakan taktik membuat pengikraran palsu dalam dokumen Kastam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Antara modus operandi dikenal pasti termasuk mengisytiharkan barangan sebagai ‘Frozen Foodstuff’, ‘Dried Fish Skin’ dan ‘Dried Food Stuff’ walaupun kandungan sebenar berbeza,” ujarnya.
Kesemua kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan serta Seksyen 133(1)(a) akta sama bagi kesalahan membuat pengikraran tidak benar.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau maksimum RM500,000, selain hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun.
Bagi kesalahan pengikraran tidak benar pula, pesalah berdepan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










