KUALA LANGAT: Dua pemuda maut digilis lori selepas sebuah motosikal yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung dengan kenderaan berat terbabit dekat Kilometer (KM) 48, Jalan Banting – Port Dickson, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu dalam perjalanan dari arah Tanjung Sepat menghala ke Morib, namun hilang kawalan apabila sampai di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, motosikal jenis Yamaha LC135 dinaiki mereka itu kemudian memasuki arah bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori jenis Nissan yang kebetulan sedang melalui jalan tersebut.
“Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua pemuda berkenaan terperosok ke dalam lori lalu digilis tayar kenderaan berat itu. Penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Banting,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa itu kemudian di bawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat, sementara pemandu lori berusia 30-an itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mazrol Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN