Lumba haram: Dua mat rempit termasuk pelajar sekolah maut

Lumba haram: Dua mat rempit termasuk pelajar sekolah maut

Mat rempit maut
DUA maut dan dua lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan (KM) 51.1 Lebuhraya SKVE berdekatan Plaza Tol Pulau Indah, di Klang, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua termasuk seorang pelajar sekolah menengah maut selepas motosikal yang dinaiki masing-masing terbabit dalam kemalangan dekat Kilometer (KM) 51.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dari arah Laguna Park, Pulau Indah ke Pulau Carey, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kemalangan kira-kira pukul 11 malam itu melibatkan empat penunggang yang menunggang motosikal masing-masing sebelum dua daripadanya bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh di atas jalan raya.

Menurutnya, sebelum kejadian, mereka didapati menunggang dengan laju dan bersaing antara satu sama lain.

“Dua daripada motosikal bergesel dan terjatuh. Dua lagi yang datang dari arah belakang gagal brek, lalu merempuh motosikal yang terjatuh itu.

“Akibat kemalangan tersebut, dua mangsa berusia 15 dan 25 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian sementara dua pagi penunggang berusia 15 dan 24 tahun mengalami cedera parah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, dua mangsa maut dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut, dua yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Jelas Ramli, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkan kepada pegawai penyiasat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

“Polis menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan mengawasi aktiviti mereka terutamanya pada waktu malam.

“Jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal sekiranya tidak mempunyai lesen yang sah atau terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN