KUALA LANGAT: Seorang isteri dan juga ibu kepada tiga anak tidak menyangka hasrat arwah suami mahu menunaikan semua permintaan keluarga merupakan petanda dia akan pergi selama-lamanya.
Menurut Samiyah Md. Amin, 40, hari-hari terakhir sebelum suaminya Allahyarham Mohd. Nazri Samsuri terlibat dalam kemalangan, dia kelihatan lebih ceria dan mesra dengan keluarga terutama dengan anak-anaknya yang berusia 17,16 dan 11 tahun dan masih bersekolah.
“Kesemua permintaan saya dan anak-anak seperti pergi makan, semuanya dipenuhi suami. Dia juga membawa saya dan anak-anak berjalan makan angin sehingga ke Ipoh, Perak bersama keluarga mertua.
“Sebelum ini, arwah memang susah hendak diajak bergambar bersama keluarga. Mungkin arwah seperti sudah tahu akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika menerima kunjungan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Hafez Shuriddin di rumahnya, hari ini.
Pada 15 Mei lalu, Mohd. Nazri, 43, yang bekerja dengan sebuah syarikat kurier multinasional dilaporkan maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar dari belakang oleh sebuah lori ketika sedang berhenti pada lampu merah di Kilometer 13 Jalan Banting – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, dia tercampak dan terperosok di bawah lori.
Samiyah menambah, dia akui pemergian suaminya sebagai penanggung tunggal keluarga menyebabkan kehidupannya berubah 360 darjah dan perlu menguruskan persekolahan anak-anak.
Malah, katanya dia perlu memikirkan pengurusan kewangan seperti sewa rumah dan perbelanjaan harian yang sebelum ini dilakukan oleh arwah suaminya.
“Suami saya baru lapan hari meninggal dunia, saya masih menguruskan segala perkara termasuk dengan majikan, pampasan dan pengurusan kes kemalangan suami.
“Buat masa ini saya dan anak-anak masih belajar menyesuaikan diri dan menerima ketentuan Allah yang lebih menyayangi dia,” luahnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga keluarga Samiyah boleh menyalurkannya ke akaun Hong Leong Bank 04151135954 miliknya. – UTUSAN