SHAH ALAM: Selangor akan mengimport bekalan daging babi dari negeri lain bagi memenuhi permintaan terhadap sumber makanan itu dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Setakat ini, 70 peratus daripada keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi bersumberkan import dari negeri-negeri lain, dan selepas keputusan MMKN, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit.
“Sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, dengan keputusan tersebut sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak.
“Termasuk yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat negeri Selangor yang berbilang kaum dan agama,” jelasnya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Sultan Sharafuddin tidak perkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri Selangor.
Titah Baginda, penternakan haiwan tersebut dikenal pasti menyebabkan pencemaran alam sekitar, udara yang ketara akibat bau busuk, selain berpotensi mencemarkan sumber air sungai melalui pelepasan sisa kumbahan.
Baginda bertitah, sebagai contoh cadangan untuk menjalankan penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor adalah tidak wajar memandangkan kawasan itu merupakan penempatan majoriti orang Melayu dan melibatkan kawasan Felda, sekali gus dijangka menerima bantahan penduduk setempat.
Amirudin berkata, penutupan ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini juga seperti di Tanjong Sepat, Kuala Langat akan dipercepat secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor.
“Sejak Januari, kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang yang sedia ada di Tanjong Sepat, menjiwai titah Sultan Selangor yang dizahirkan pada bulan yang lalu.
“Dalam menjunjung kasih titah terbaharu Sultan Selangor, melangkah ke hadapan, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor,” ujarnya.
Pada 12 Januari lalu melaporkan Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak berkenan dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Malah, baginda memandang serius keputusan kerajaan negeri yang mahu memindahkan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar di Hulu Selangor di atas tapak seluas kira-kira 202 hektar.
Baginda menegaskan, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, sensitif dan seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di negeri ini.
Susulan itu, pada 16 Januari lalu, lebih 400 individu mewakili penduduk dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun menyatakan bantahan terhadap pembinaan ladang ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar.
Perhimpunan tersebut turut disertai lebih 300 penduduk dari empat tanah rancangan Felda yang berhimpun di laluan utama Felda Sungai Tengi Selatan dan menyifatkan cadangan pembinaan ladang babi berskala besar itu ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan’. – UTUSAN










