SABAK BERNAM: Seorang parah dan tiga cedera ringan selepas sebuah gerai jual mercun dan bunga api dekat Kampung Batu 9, di sini terbakar, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.08 pagi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam.
“Kebakaran melibatkan kanopi jual mercun bersaiz 400 kaki persegi. Kebakaran sudah pun padam sebelum pihak bomba sampai. Terdapat empat orang mangsa lelaki anggaran umur 20-an.
“Terdapat 1 orang mangsa cedera parah pada bahagian kaki kiri, kaki kanan dan tangan kanan manakala 3 orang mangsa lagi mengalami kecederaan ringan. Kesemua mangsa diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita, hari ini. – UTUSAN