Suspek cekik adik direman hari ini, tiada rekod disiplin

Suspek cekik adik direman hari ini, tiada rekod disiplin

KEJADIAN dilaporkan berlaku di rumah kedua-dua beradik itu di Kampung Bukit Piatu, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis memaklumkan bahawa suspek lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai mencekik adik kandungnya berumur 9 tahun sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu di sini, tidak mempunyai rekod disiplin di sekolah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, remaja berkenaan merupakan pelajar di sebuah sekolah arab di Alor Gajah dekat sini.

CHRISTOPHER PATIT

Beliau berkata, suspek ditahan untuk membantu siasatan dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengetahui motif kejadian.

“Tragedi itu disedari ibu mangsa yang memantau kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon apabila mendapati anak sulungnya itu telah mencekik adiknya sehingga tidak sedarkan diri di rumah mereka.

“Dia kemudian meminta jiran untuk melihat keadaan yang berlaku, namun mangsa dikatakan sudah tidak bergerak. Suspek adalah anak sulung kepada empat beradik dan merupakan seorang pelajar sekolah arab.

“Semakan rekod bersama pihak sekolah mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod disiplin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang kanak-kanak maut dipercayai dicekik abang kandungnya sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Menurut saksi kejadian yang juga jiran mangsa, suspek didakwa bertindak demikian selepas gagal mengawal dirinya berkemungkinan akibat dirasuk.

Tambah Christopher, suspek akan dibawa ke mahkamah pukul 10 pagi hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN