Tumpang kasih sambut Aidilfitri di pusat jagaan - Utusan Malaysia

Tumpang kasih sambut Aidilfitri di pusat jagaan

TOK Jah (kiri) dan Cik Yah ketika ditemui di Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Kasih Budi di Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Di sebalik kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sinonim dengan berkumpulnya keluarga dan sanak-saudara, suasana berbeza dirasai penghuni Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Kasih Budi di Bukit Besar di sini, apabila mereka meraikan lebaran dalam suasana sederhana, namun penuh kasih sayang.

Pengasas pusat jagaan, Zanariah Ghani, 51, berkata, walaupun kebanyakan penghuni tidak dapat pulang beraya bersama keluarga, pihaknya berusaha mewujudkan suasana Syawal yang meriah supaya mereka tidak berasa tersisih.

“Kami menghias pusat jagaan, menyediakan juadah hari raya dan memberi peluang kepada penghuni merasai suasana lebaran seperti di rumah sendiri,” katanya.

Zanariah berkata, pusat jagaan yang beroperasi sejak Oktober 2024 menempatkan 24 penghuni tetap berusia antara 21 hingga 95 tahun, dengan lima daripadanya berada dalam keadaan terlantar.

Katanya, seramai 19 kakitangan bertugas mengikut tiga syif bagi memastikan kebajikan penghuni sentiasa terjaga sepanjang masa termasuk musim perayaan.

“Walaupun ada dalam kalangan mereka tidak mampu berkomunikasi atau bergerak, kami cuba sedaya upaya menggembirakan hati mereka,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Tok Jah yang berusia dalam lingkungan 60-an dari Dungun, Aidilfitri kali ini disambut tanpa keluarga selepas melalui alam rumah tangga yang pahit.

Mangsa keganasan rumah tangga itu dihantar ke situ oleh ahli keluarga kira-kira enam bulan lalu dalam keadaan terlantar.

Bagaimanapun, keadaannya kini menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi terlantar, meskipun masih memakai lampin pakai buang.

Walaupun tidak menghidap penyakit kronik, trauma yang dialami memberi kesan terhadap pergerakan hariannya.

Nasib sama turut dirasai Cik Yah, 78, seorang bekas guru Bahasa Inggeris yang menyambut lebaran tanpa keluarga terdekat.

Sebelum ini, wanita yang tidak pernah berkahwin itu terlantar kerana serangan strok dua tahun lalu, sebelum dihantar ke pusat jagaan oleh saudara-mara.

Keadaannya bertambah baik dan tidak lagi terlantar, namun masih memerlukan penjaga­an rapi termasuk pemantauan pemakanan berikutan menghidap diabetes.

Difahamkan, serangan strok yang dialaminya turut menjejaskan keupayaan bertutur sehingga menyukarkan komunikasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN