Penduduk derita berhari raya tanpa air - Utusan Malaysia

Penduduk derita berhari raya tanpa air

PENDUDUK terpaksa berjimat cermat selepas berdepan gangguan bekalan air di Kampung Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri bertukar suram buat penduduk Kampung Tanah Putih di sini, kerana berdepan gangguan bekalan air yang berlarutan sejak seminggu lalu.

Masalah itu bukan sahaja menjejaskan rutin harian, ma­lah mengganggu persiapan le­baran termasuk memasak juadah, mencuci dan menerima kehadiran tetamu.

Penduduk terjejas, Nur Hidayah Ramli, 35, berkata, ketiadaan air memaksanya membeli air mineral bagi kegunaan memasak dan minum.

Katanya, beban semakin terasa apabila ramai ahli keluarga pulang ke kampung untuk menyambut Syawal bersama-sama.

“Situasi ini sangat mengecewakan kerana sebelum ini kami tidak pernah berdepan masalah bekalan air, tambahan pula rumah sudah dilengkapi tangki simpanan besar.

“Gangguan mula berlaku dua hari sebelum raya dan berlarutan hingga hari raya kedua ketika ahli keluarga berkumpul. Kami perlu memanggil lori tangki untuk mengisi air. Harap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini segera,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk sekitar Tanah Putih berhubung gangguan bekalan air.

Katanya, ia bukan isu baharu tetapi sudah berlarutan sekian lama di beberapa kawasan dan menjadi lebih kritikal setiap kali musim perayaan.

“Penduduk di kawasan tinggi telah berdepan masalah ini sejak tujuh bulan lalu. Apabila tiba musim perayaan, keadaan menjadi lebih teruk kerana pertambahan penggunaan air.

“Ramai yang kecewa kerana pulang beraya dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan air bersih untuk kegunaan asas,” katanya.

Mohd. Syahbuddin berkata, bantuan melalui lori tangki yang disediakan ketika ini hanya bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan masalah secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN