fbpx

22 Mei 2022, 3:22 pm

  TERKINI

Kesan pencemaran minyak Pantai Cermin: Kerajaan NS akan ambil tindakan segera

LAPORAN Utusan Malaysia hari ini berkaitan Pantai Cermin di Port Dickson yang masih dicemari tumpahan minyak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menyiasat segera susulan laporan Utusan Malaysia semalam mengenai Pantai Cermin di Port Dickson yang masih dicemari tumpahan minyak.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, siasatan akan dilakukan segera termasuk mengenal pasti sama ada pencemaran minyak yang dilaporkan tersebut merupakan pencemaran baharu ataupun pencemaran lama ketika tumpahan minyak yang berlaku pada Oktober 2020.

“Kita akan siasat dan ambil tindakan segera. (Sebelum ini) di kawasan Negeri Sembilan kita yang selesaikan (pembersihan) tetapi di Melaka, Melaka yang buat.

“Di Melaka, kejadian menyebabkan kematian pokok-pokok bakau, kita khuatir daripada kesan itu, ia (pencemaran) telah mengalir ke kawasan Negeri Sembilan semula. Kita akan bersihkan semula, insya-Allah dan akan pastikan kawasan pantai kita bersih,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sistem MyCare semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, walaupun sudah lebih setahun kejadian tumpahan minyak berlaku di Pantai Cermin di Port Dickson dan juga di Tanjung Tuan, kesan kejadian tersebut masih kelihatan terutama di sekitar kawasan paya bakau.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail berkata, kesan tumpahan minyak masih lagi ada dan ia menunjukkan kejadian tumpahan minyak tersebut begitu memberi kesan kepada alam sekitar dan mengambil masa lama untuk pulih.

Pada 12 Oktober 2020, pencemaran minyak dikesan berlaku di sepanjang dua kilometer Pantai Cermin di Port Dickson termasuk kawasan Tanjung Tuan.

Kerja-kerja pembersihan pencemaran tersebut pada waktu itu mengambil masa lebih seminggu melibatkan anggota petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain dengan kos pembersihan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

Kerja-kerja pembersihan pada ketika itu turut menemukan banyak habitat laut yang mati seperti udang dan udang kara yang diselaputi sisa minyak.

Kesemua haiwan-haiwan tersebut ditemukan di kawasan pokok bakau di pantai tersebut yang turut teruk terjejas akibat tumpahan minyak tersebut.

Hasil ujian dan analisa yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) kemudiannya mendapati minyak enjin kapal yang berlabuh di perairan berhampiran pantai Port Dickson menjadi punca kepada pencemaran tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI