Risiko tanah runtuh Sabah lebih tinggi - Utusan Malaysia

Risiko tanah runtuh Sabah lebih tinggi

RODEANO Roslee menunjukkan kawasan yang berisiko berlaku tanah runtuh di Kundasang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ancaman tanah runtuh di kawasan tanah tinggi di Sabah lebih besar berbanding di Semenanjung.

Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Madya Dr. Rodeano Roslee berkata, biarpun bentuk muka bumi di Sabah dan Semenanjung sama, namun, dari segi geologi, Sabah lebih berisiko berlaku tanah runtuh.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands berlaku disebabkan penerokaan tanah yang tidak terkawal, berbeza dengan Sabah yang penerokaan tanah sedikit tetapi kadar ancaman tanah runtuh tinggi terutama semasa musim tengkujuh.

Katanya, sepanjang laluan Tamparuli-Ranau yang merupakan kawasan lembah seharusnya mempunyai parit bagi membolehkan air daripada bawah tanah boleh mengalir dengan baik. Kebanyakan kawasan ini juga ditambak, jadi risiko berlaku tanah runtuh sangat tinggi.

Secara umum, tanah runtuh boleh berlaku disebabkan faktor pencetus seperti cerun yang curam, hakisan, kadar luluhawa tinggi, aliran air yang deras dan geologi kawasan aktif tanah runtuh. Tidak dinafikan aktiviti manusia dan penerokaan tanah turut menyumbang kepada tanah runtuh.

“Sabah mempunyai banyak kawasan tanah runtuh domain iaitu kawasan yang sudah lama tidak berlaku tanah runtuh tapi, berpotensi untuk berlaku semula berikutan faktor pencetus seperti gegaran dan hakisan.

“Pekan Kundasang pula diklasifikasi sebagai zon aktif tanah runtuh. Pekan ini boleh digelar sebagai kompleks tanah runtuh kerana kebanyakan penduduk mendirikan rumah di ‘badan’ tanah runtuh yang besar.

“Walau bagaimanapun, tanah runtuh yang berlaku di Kundasang ini jenis rayapan (creep) yang mengambil masa yang sangat perlahan untuk berlaku runtuhan. Ia melibatkan pergerakan tanah beberapa milimeter atau sentimeter sahaja pada setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Rodeano berkata, penduduk di Kundasang harus melaporkan segera mengenai perubahan pergerakan tanah di kawasan masing-masing terutama apabila berlaku tanda awal seperti retakan pada struktur rumah atau tanah.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal di Kundasang sudah maklum tentang risiko tanah runtuh di kawasan tersebut. Malah, program kesedaran dan pendedahan tanda-tanda awal tanah runtuh turut diadakan oleh pelbagai agensi termasuk UMS.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko tanah runtuh adalah pemantauan berterusan di kawasan-kawasan berisiko seperti di sepanjang laluan Tamparuli-Ranau.

Sekiranya kerajaan mempunyai kewangan yang lebih, mereka boleh memasang alat inclinometer bagi mengesan pergerakan tanah setiap hari, minggu mahupun bulan.

Menerusi alat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) boleh mengetahui kadar pergerakan tanah dan sampai tahap tertentu apabila pergerakan semakin cepat, tindakan awal boleh diambil untuk mengurangkan risiko kerugian harta benda dan kemalangan jiwa.

Jelas beliau, langkah mitigasi juga boleh segera diambil tanpa perlu menunggu kejadian tanah runtuh berlaku.

Tambahnya, memasuki musim tengkujuh ini, pengguna jalan raya yang melalui kawasan tanah tinggi seperti di Kundasang perlu sentiasa berwaspada. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.