Lelaki lemas dalam sawah ketika banjir - Utusan Malaysia

Lelaki lemas dalam sawah ketika banjir

GAMBAR kenangan Omar Ismail bersama isterinya, Nur Diana Md Radzi dan anak mereka Nia Camelia Sofea Omar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh di kawasan sawah padi yang dipenuhi air banjir di Kampung Keluang, Jitra di sini hari ini.

 Mayat mangsa, Omar Ismail, 25, ditemukan kira-kira tiga meter dari lokasi kejadian pada pukul 9.20 pagi.

Mangsa disyaki terjatuh di kawasan sawah itu pada pukul 2.30 petang semalam.

Bapa mentua mangsa, Md. Radzi Mehat, 52, memberitahu, Omar ke kawasan sawah bersama rakan-rakan untuk menarik pukat yang diletaknya sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia dimaklumkan menantunya itu telah terjatuh ke dalam sawah sedalam 1.5 meter pada pukul 2.30 petang.

“Rakan-rakan menantu saya itu berusaha mencari dan menyelamatkannya di tempat kejadian, namun, gagal,” katanya  ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Jitra di sini hari ini.

Radzi berkata, mereka yang tinggal di Kampung Titi Panjang itu pernah menasihati mangsa supaya tidak memukat di kawasan berbahaya memandangkan keadaan cuaca buruk sekarang.

Dalam pada itu, kakak ipar mangsa, Nur Nazihah Md. Radzi, 28, berkata, sebelum kejadian mangsa ada berbual dengan isterinya, Nur Diana Md. Radzi, 25, tentang satu-satunya anak mereka, Nia Camelia Sofea yang baru berusia satu tahun.

“Dia tanya isteri bila agaknya anak mereka boleh mula berjalan, namun, lebih terkilan apabila ketika kejadian anak mereka mula berjalan dua tiga langkah tanpa sempat mangsa melihat.

“Semalam, Nia Camelia Sofea pula mula mencari ayahnya (Omar) untuk tunjuk dia sudah boleh berjalan dan kebiasaannya ayahnya itu akan pulang sebelum Maghrib,” ujarnya. 

Tambahnya, mereka baru berkahwin pada tahun 2019 lalu dan dia membantu ayah menguruskan sawah dan isterinya membantu ibu berniaga berdekatan rumah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, mangsa, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.03 petang semalam.

Mayat Omar yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika memukat di kawasan sawah  ditemukan terapung pada pukul 9.20 pagi hari ini.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis yang dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat,” ujarnya.

Katanya, pihaknya menasihati agar orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan kawasan sawah atau sungai berikutan keadaan banjir yang melanda negeri ini sekarang. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya