44 kes kemalangan babit pengusaha bas sekolah - Utusan Malaysia

44 kes kemalangan babit pengusaha bas sekolah

Mat Kasim Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sebanyak 44 kes kemalangan membabitkan bas dan van sekolah direkodkan di seluruh negara sejak 2017 sehingga Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 individu dilaporkan maut manakala tiga lagi kes mengalami kecederaan parah diikuti 13 cedera ringan dalam tempoh sama.

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim berkata, sebanyak 13 kes lagi yang dilaporkan tidak mengalami sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

Kata beliau, kes tertinggi dilaporkan adalah pada 2018 iaitu sebanyak 15 kes direkodkan membabitkan lapan kematian diikuti sebanyak 14 kes dicatatkan pada 2017 dengan empat kematian.

“Kes membabitkan kemalangan membabitkan van dan bas sekolah mengalami penurunan apabila hanya sepuluh kes direkodkan pada 2019 diikuti lima kes dicatatkan tahun lalu.

“Bagi tahun ini pula, tiada kemalangan melibatkan pemandu van dan bas sekolah dilaporkan memandangkan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sekolah ditutup dan murid-murid mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Mat Kassim lagi, berdasarkan rekod, Perak mencatatkan kes tertinggi direkodkan apabila sebanyak sembilan kemalangan membabitkan bas dan van diikuti Sarawak (lapan kes) dan Negeri Sembilan (enam kes) dalam tempoh lima tahun itu.

“Turut mencatatkan kes tertinggi iaitu Johor apabila lima kes direkodkan diikuti Pahang, Terengganu dan Selangor masing-masing (empat kes) selain Kelantan (dua kes) Sabah, Melaka serta Kedah (satu kes) sahaja dilaporkan.

“Bagi kes menyebabkan kematian ianya disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) selain Seksyen 43 APJ 1987 atas kesalahan memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan.

“Ada sesetengah kes yang dilaporkan, ada juga yang disiasat di bawah di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959,” ujarnya.

Mengulas mengenai kejadian pemandu van yang merempuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun kelmarin di Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini, Mat Kasim mengingatkan pemandu atau pengendali bas perlu prihatin dan menentukan penumpang (pelajar sekolah) selamat melintas sebelum meneruskan perjalanan.

Kata beliau, mereka juga sewajarnya memastikan keluarga pelajar-pelajar yang menaiki kenderaan mereka telah mengambil anak mereka ketika turun dari van atau bas sekolah berkenaan.

“Jangan terburu-buru meneruskan perjalanan tanpa mengambil kira faktor sekeliling. Ini kerana adalah menjadi tugas pemandu menentukan keselamatan ini terutama membabitkan murid-murid sekolah rendah dan prasekolah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×