152 pelajar Sekolah Sains Tuanku Aishah Rohani keracunan makanan - Utusan Malaysia

152 pelajar Sekolah Sains Tuanku Aishah Rohani keracunan makanan

SERAMAI 152 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani di Sikamat, Seremban mengalami gejala keracunan makanan sejak semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tempat penyediaan makanan di dapur asrama Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani di Sikamat, di sini diarahkan tutup susulan 152 orang pelajarnya mengalami gejala keracunan makanan sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD ) Seremban telah menerima laporan mengenai satu kejadian keracunan makanan (KRM) semalam melibatkan pelajar sekolah tersebut. 

Menurutnya, siasatan yang dijalankan oleh PKD Seremban mendapati 152 orang pelajar yang mengalami gejala KRM daripada 597 orang yang terdedah iaitu dengan kadar serangan 25.5 peratus. 

“Daripada jumlah berkenaan, kesemua pelajar mengalami gejala utama iaitu sakit perut 152 orang pelajar, loya (148), sakit kepala (134), muntah (119) orang, cirit-birit (94), demam (32) dan kejang abdomen (30). Kesemua kes dirawat sebagai pesakit luar dan berada dalam keadaan stabil.

“Tindakan kawalan wabak telah diambil pada hari yang sama. Pemeriksaan premis dan aktiviti persampelan juga telah dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini

Veerapan berkata, sampel klinikal dari kes-kes, sampel makanan dan sampel persekitaran telah diambil dan dihantar ke makmal untuk di analisa. 

Menurutnya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini. 

“Tindakan penutupan tempat penyediaan makanan telah dibuat di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kes baru dari punca premis yang sama,” katanya.

Tambah Veerapan lagi, pendidikan kesihatan telah diberikan kepada semua pelajar terlibat, pengusaha dan semua pengendali makanan di dapur asrama tersebut. 

“Wabak adalah dalam keadaan terkawal. Siasatan dan pemantauan wabak akan dilakukan sehingga wabak tamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya