fbpx

7 Mei 2021, 12:44 am

  TERKINI

Ribut musnahkan kenderaan, payung dan kanopi peniaga

KEADAAN gerai peniaga yang musnah selepas ribut melanda di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan petang tadi. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penduduk di beberapa daerah di negeri ini berdepan detik cemas apabila hujan lebat petang ini, turut diiringi ribut petir yang membadai secara tiba-tiba. 

Kejadian bermula kira-kira pukul 3 petang menyebabkan payung dan kanopi para penjaja berhampiran pasar raya Tesco di Lembah Sireh di sini rosak teruk selepas diterbangkan angin kencang.

Selain itu, beberapa kenderaan orang awam turut dilaporkan dihempap pokok yang tumbang. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima beberapa maklumat dan panggilan orang awam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes pertama melibatkan pokok tumbang yang menghempap tiga kereta di depan bangunan di Mahkamah Lama Kota Bharu di sini pada pukul 3.21 petang.

“Kes kedua, ia melibatkan sebuah kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di Jalan Kebun Sultan yang turut dihempap pokok pada pukul 4.01 petang.

“Bagi kes ketiga, sebatang pokok tumbang menyebabkan laluan terhalang di Jalan Bayam di sini pada pukul 5.25 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pasukan bomba mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk memotong pokok yang tumbang sebelum mengalihkannya bagi memastikan laluan kembali lancar dan selamat.

Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat ribut tersebut. – UTUSAN