KUANTAN: Demi kecintaannya kepada agama, seorang pemuda dari Kampung Beserah di sini, tetap menyimpan impian untuk keluar berdakwah bersama jemaah tabligh selama empat bulan walaupun fizikalnya kudung kedua-dua kaki.
Kaki pemuda itu, Azrul Azizi Ahmad Raudan, 24, terpaksa dipotong pada Disember tahun lalu akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.
Lebih menyedihkan, kesemua jari tangannya juga akan dipotong dan pembedahan tersebut dijangka dilakukan 7 Julai ini.
Menceritakan kejadian menimpa dirinya, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, lima tahun lalu dia terbabit kemalangan jalan raya dan mengalami kecederaan serius pada bahagian limpa sehingga terpaksa dibedah untuk membuang organ berkenaan.
“Ketiadaan limpa menyebabkan saya lebih mudah dijangkiti penyakit kerana sistem imun badan menjadi lemah. Apa yang dibimbangkan benar-benar terjadi apabila saya disahkan dijangkiti kencing tikus pada Oktober tahun lalu.
“Pada mulanya saya mengalami demam selama empat hari sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Keadaan saya makin serius sehingga terpaksa ditidurkan selama dua minggu. Selepas sedar semula, saya dapati semua jari tangan serta bahagian kaki sudah lebam.
“Doktor beritahu kedua-dua kaki saya perlu dipotong untuk mengelak keadaan lebih buruk berlaku dan pada mulanya saya tidak bersetuju. Namun selepas tidak tahan menanggung kesakitan setiap hari, saya rela untuk kedua-dua kaki dipotong dan pembedahan itu berlangsung selama dua jam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azrul Azizi berkata, kini dia masih menjalani rawatan susulan setiap bulan di hospital berkenaan selain akan menjalani pembedahan memotong semua jari tangan yang sudah mati.
Mengenai pembabitannya dalam jemaah tabligh, pemuda itu berkata, dia mula mengikuti kumpulan dakwah tersebut sejak 2021.
“Sebelum ini saya sudah beberapa kali keluar bersama jemaah tabligh selama tiga hari, 10 hari atau 40 hari malah merancang untuk keluar selama empat bulan. Sebagai persiapan, saya bekerja sementara untuk mengumpul wang bagi kegunaan sepanjang tempoh itu nanti.
“Hasrat itu tidak kesampaian apabila saya terlebih dahulu diuji dengan musibah ini, namun saya reda. Allah SWT uji kerana Allah sayang, Allah uji kerana mahu tengok hambanya kuat atau tidak untuk tempuh ujian tu,” katanya.
Namun katanya, dia masih menyimpan hasrat untuk keluar bersama jemaah tabligh selama 40 hari sekiranya dia mendapat kaki palsu dan semua urusannya dipermudah.
Jelasnya, dia tidak mampu memiliki kaki palsu kerana kos untuk membuatnya menelan belanja sehingga RM16,000 sepasang. – UTUSAN











