Zahid yakin tawaran BN, PN dapat pikat pengundi Melaka

Zahid yakin tawaran BN, PN dapat pikat pengundi Melaka

BN menang DUN
AHMAD Zahid Hamidi berucap merasmikan Majlis Khatam Perdana Pra Tahfiz di Ayer Keroh, Melaka semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin tawaran BN bersama Perikatan Nasional (PN) yang mengandungi 113 perkara berasaskan beberapa teras utama mampu memenuhi keperluan rakyat Melaka.

Katanya, tawaran itu mengambil kira kepentingan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira umur, kaum, agama, budaya dan bahasa.

“Insya-Allah, kita akan terus membirukan Melaka pada hari Sabtu nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Perdana Pra Tahfiz di Ayer Keroh di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ahmad Zahid, beliau amat bersyukur apabila kempen PRN Melaka setakat ini berlangsung dalam suasana tenang.

Katanya, suasana kempen kali ini jauh lebih tenang berbanding beberapa PRN dan pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana semua parti yang bertanding menghormati tataetika dengan mempunyai tatasusila kempen yang baik.

“Walaupun keadaan ini sa­ngat tenang berbanding kempen PRN lain atau PRK, kita mengharapkan agar pada hari pengundian nanti tidak ada sebarang peristiwa yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan serta kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Melaka adalah negeri yang ditadbir dengan baik selama ini dan kita harap kepercayaan serta sokongan dapat diberikan kepada calon-calon BN yang kita ketengahkan, insya-Allah,” katanya.

Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, 14 November ini.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi diikuti BN dengan 23 kerusi, Parti Bersama Malaysia (Bersama) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (7), PN (5), Bebas (3) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (1). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini