PUTRAJAYA: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr. Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan mahu seluruh jentera pergerakan itu bekerja lebih keras bagi mendapatkan sokongan golongan muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, golongan muda merupakan kelompok penting yang perlu didekati secara berterusan, bukan hanya ketika pilihan raya, sebaliknya menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan dan keperluan mereka.
Menurutnya, Pemuda UMNO Putrajaya perlu turun padang dan mendengar sendiri suara anak muda bagi memahami isu yang menjadi keutamaan mereka termasuk peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan serta masa depan kerjaya.
“Pemuda UMNO Putrajaya tidak boleh hanya menunggu anak muda datang kepada kita, sebaliknya kita perlu turun kepada mereka, mendengar masalah dan memahami perkara yang mereka hadapi.
“Kita perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan golongan muda bahawa UMNO masih relevan dan mampu menjadi wadah yang memperjuangkan kepentingan serta masa depan mereka,” katanya ketika Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, baru-baru ini.
Tengku Iqbal berkata, pendekatan politik juga perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa, terutama dalam penggunaan media sosial dan platform digital yang menjadi medium utama anak muda mendapatkan maklumat.
Katanya, Pemuda UMNO Putrajaya akan memperkukuh gerak kerja akar umbi dengan memperbanyakkan program bersama komuniti, aktiviti kepimpinan dan pendekatan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan muda.
Beliau menegaskan, usaha meraih sokongan anak muda perlu dimulakan lebih awal dan dilakukan secara konsisten bagi memastikan Pemuda UMNO Putrajaya berada dalam keadaan bersedia menghadapi PRU16 serta mampu menjadi penghubung berkesan antara parti dengan generasi muda.-UTUSAN










