Rajasekaran ‘hero’ Sri Tanjung, atasi isu banjir, miskin tegar

Rajasekaran ‘hero’ Sri Tanjung, atasi isu banjir, miskin tegar

G. RAJASEKARAN ketika menziarah seorang penduduk yang sakit di Kampung Gelam, Sri Tanjung, Port Dickon, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sejak dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Datuk Dr. G. Rajasekaran meletakkan keutamaan untuk membantu rakyat.

Ini terbukti, apabila tempoh kurang tiga tahun berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, beliau berjaya menyelesaikan beberapa isu yang sekian lama membelenggu rakyat di kawasan itu.

Antara paling ketara adalah masalah banjir kilat di Kampung Paya yang berlaku lebih sedekad.

Katanya, setiap kali hujan lebat dan air pasang berlaku serentak, kawasan perumahan di Kampung Paya akan dilanda banjir sehingga menjejaskan kira-kira 7,000 penduduk.

“Usaha digerakkan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah itu. Hasil pelaksanaan projek pembinaan kolam takungan air tahun lalu, masalah banjir kilat berjaya diatasi sekali gus melegakan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

G. RAJASEKARAN

Selain itu, beliau yang turut mempunyai klinik sendiri di DUN ini berkata, kawasan pinggir Sungai Kampung Paya turut dirancang dinaik taraf sebagai kawasan riadah dan tumpuan pelancong.

Katanya, projek itu akan membolehkan orang ramai khususnya golongan muda dapat beriadah dan memancing di kawasan yang lebih selamat.

Dalam perancangan seterusnya, Rajasekaran berkata, sebuah dewan serbaguna untuk kegunaan penduduk juga akan dibina.

SELESAIKAN PROJEK SAKIT

Rajasekaran turut memaklumkan isu rumah pembakaran mayat (krematorium) yang tergendala lebih 10 tahun juga berjaya diselesaikan.

Katanya, projek itu merupakan projek sakit yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, namun berjaya diselesaikan dengan bantuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan pihak berkuasa tempatan bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam.

Selain itu, beliau berkata, beberapa lokasi ‘blackspot’ yang kerap berlaku kemalangan turut dikenal pasti untuk tindakan lanjut menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

SIFAR MISKIN TEGAR

Dalam aspek kebajikan, beliau berkata, DUN Sri Tanjung kini mencapai sifar miskin tegar.

Jelasnya, Negeri Sembilan merupakan antara negeri terawal yang berjaya menoktahkan kemiskinan tegar.

Katanya, sebelum ini terdapat 16 keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM250 yang dikenal pasti dan dibantu menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk kebajikan, bantuan persekolahan, bantuan anak negeri, bakul makanan dan bantuan tunai RM600 secara sekali bayar.

“Manifesto kerajaan negeri yang sebelum ini memberi tumpuan kepada golongan B40 kini turut diperluaskan kepada M40 agar manfaatnya dapat dirasakan setiap lapisan masyarakat,” katanya.

PENDIDIKAN

Sejak 2018, katanya, Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta setiap tahun bagi hal ehwal bukan Islam, komitmen yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini.

Katanya, antara inisiatif yang turut diberi perhatian ialah pembangunan Yayasan Negeri Sembilan, termasuk menaik taraf kolej di bawah yayasan itu.

“Sebelum ini bangunan kolej memang sudah ada, tetapi kini ia mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Pelajar bukan sahaja menerima pendidikan secara percuma, malah penginapan asrama dan makanan juga disediakan secara percuma.

“Dahulu, pelajar yang menamatkan pengajian terpaksa menanggung hutang sekitar RM8,000 hingga RM9,000, tetapi sekarang mereka tidak lagi dibebankan dengan kos tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan Negeri Sembilan turut menyediakan bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada anak-anak yang memerlukan.

Selain itu, katanya, pelajar daripada keluarga B40 yang layak turut menerima bantuan komputer riba bernilai kira-kira RM3,000 yang disalurkan melalui yayasan itu.

Beliau yang pernah menyambung pengajian di Ukraine turut memberi tumpuan kepada aspek pendidikan menerusi penubuhan sebuah perpustakaan awam komuniti di Flat Bandar, Port Dickson.

Katanya, kemudahan itu disediakan secara percuma bagi membantu kanak-kanak, khususnya daripada keluarga B40, mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah dengan kemudahan internet.

“Perpustakaan ini juga menjadi lokasi sementara untuk anak-anak menunggu ibu bapa pulang dari tempat kerja dan boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

“Ini merupakan projek perintis dan saya mahu memperluaskan perpustakaan komuniti seperti ini ke setiap DUN yang memerlukannya,” katanya.

LIMA PENJURU

Kerusi DUN Sri Tanjung menyaksikan saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini.

Pertandingan itu membabitkan Rajasekaran selaku penyandang, calon dari Barisan Nasional (BN), A Achutan dan M. Leevineshwaraan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon bebas.

Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India pula 28.3 peratus.

Pada PRN 2023 menyaksikan Rajasekaran memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,996 undi. – UTUSAN

KENALI CALON

Nama: Datuk Dr. G. Rajasekaran

Umur: 45 tahun

Pendidikan: Doktor Perubatan dari
Crimea State Medical University

Kerjaya: ADUN Sri Tanjung

Politik: Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan

Naib Ketua Cabang PKR Port Dickson

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN