SEREMBAN: Situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 berada pada tahap yang baik serta terkawal.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pada 26 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan menerima sebanyak 59 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 57 permohonan telah diluluskan selepas memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Secara kumulatif bagi tempoh 18 Julai hingga 26 Julai 2026, sebanyak 499 permohonan permit telah diterima dengan 473 permohonan diluluskan.
“Kesemua program dan aktiviti politik yang telah diadakan akan dipantau oleh PDRM bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, dari aspek penguatkuasaan, sebanyak lima laporan polis diterima pada 26 Julai namun tiada kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka.
Katanya, secara kumulatif sepanjang tempoh 18 Julai hingga 26 Julai lalu, PDRM Negeri Sembilan menerima 33 laporan polis dan membuka 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.
“PDRM Negeri Sembilan akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pematuhan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang PRN Negeri Sembilan Ke-16.
“Tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN










