Manivanan mahu menabur bakti di kampung ibu

Manivanan mahu menabur bakti di kampung ibu

G. MANIVANAN bertanding di DUN Jeram Padang untuk kembali berbakti di kampung halaman ibunya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Keputusan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan bertanding di kawasan itu bukan hanya percaturan politik, sebaliknya didorong hasrat untuk kembali berbakti di kampung halaman ibunya.

Manivanan berkata, Jeram Padang mempunyai nilai sentimental buat dirinya memandangkan ibunya dilahirkan dan dibesarkan di kawasan berkenaan sebelum mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, walaupun beliau dilahirkan di Kajang, Selangor, hubungan dengan Jeram Padang tidak pernah terputus kerana sering berulang-alik ke kawasan itu sejak kecil.

“Selepas saya dilahirkan, saya membesar di sini (Jeram Padang). Sejak umur 10 tahun, saya ulang-alik dari Kajang ke Jeram Padang kerana ibu saya dilahirkan dan dibesarkan di sini.

“Bagi saya, ia bukan sekadar kembali bertanding dalam pilihan raya tetapi kembali ke kampung halaman sendiri,” katanya ketika ditemui di Felda Palong 2, di sini.

Manivanan berkata, keputusan untuk bertanding di kawasan itu juga dibuat atas permintaan peribadinya kepada pimpinan parti kerana mahu melakukan sesuatu untuk tempat yang mempunyai kaitan rapat dengan keluarganya.

“Saya kembali ke sini untuk ibu saya. Saya mahu melakukan sesuatu di tempat di mana ibu saya dilahirkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jeram Padang mempunyai potensi besar khususnya dalam sektor pertanian, penternakan dan pembangunan anak muda namun memerlukan strategi serta bimbingan yang betul.

Katanya, peranan wakil rakyat bukan sekadar menyelesaikan masalah rakyat, tetapi menjadi penghubung antara masyarakat dengan dasar dan bantuan kerajaan.

“Ada ramai anak muda yang rajin dan mempunyai potensi, tetapi mereka tidak mempunyai panduan yang baik. Wakil rakyat perlu menjadi jambatan supaya mereka dapat menghubungkan usaha mereka dengan program kerajaan.

“Jika ekosistem itu dibangunkan dengan baik, termasuk membawa pelaburan dan peluang pekerjaan, kawasan ini boleh berkembang,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kapar itu berkata, pengalaman lebih 20 tahun dalam politik serta latar belakang sebagai peguam menjadi bekalan utama untuk dirinya bagi mendekati pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun DUN tersebut berada di kawasan luar bandar namun, pendekatan kepada rakyat perlu berdasarkan pemahaman terhadap masalah setempat.

Menurutnya, penduduk di beberapa kawasan terutama Sungai Raya masih berdepan gangguan bekalan air sehingga lima hari selain masalah tekanan air rendah dan bekalan yang kerap terputus.

Beliau turut melihat kedudukan strategik Jeram Padang yang bersempadan dengan Melaka, Johor dan Pahang berpotensi dibangunkan sebagai hab pengangkutan sekiranya rangkaian rel diperluaskan.

Katanya, pembangunan infrastruktur mampu menarik pelaburan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta mengurangkan penghijrahan golongan muda ke luar kawasan.

“Jeram Padang mampu berubah. Apa yang diperlukan ialah seseorang yang benar-benar berazam untuk merealisasikannya,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan juga perlu dinikmati secara menyeluruh termasuk penduduk di kawasan bandar, tanah rancangan Felda, Felcra, bekas estet dan perkampungan Orang Asli.

PRN lalu, kerusi tersebut dimenangi oleh penyandangnya iaitu Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir atas tiket Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 5,462 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN