Kerusi campuran, isu semasa hangatkan persaingan kempen

Kerusi campuran, isu semasa hangatkan persaingan kempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerusi-kerusi campuran dijangka menjadi faktor penentu kepada pembentukan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih dilihat seimbang.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berpandangan, walaupun kedua-dua gabungan mempunyai kekuatan di kawasan masing-masing, beberapa kerusi campuran bakal menjadi medan persaingan paling sengit yang menentukan keputusan akhir pilihan raya.

Katanya, BN dijangka terus mempertahankan pengaruh di kawasan luar bandar manakala PH pula berpotensi mengekalkan penguasaan di kawasan majoriti bukan Melayu khususnya majoriti pengundi Cina.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kerusi campuran yang akan menjadi penentu keputusan pilihan raya.

“Kerusi-kerusi campuran yang kritikal ini boleh dimenangi oleh mana-mana pihak dan dijangka menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri. Secara keseluruhannya, saya melihat peluang antara BN dan PH ketika ini masih 50-50,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas faktor yang mempengaruhi persaingan semasa, Mazlan berkata, momentum kempen ketika memasuki minggu kedua dilihat sedikit memihak kepada PH.

Katanya, keadaan itu didorong beberapa isu yang sedang dihadapi BN dan Perikatan Nasional (PN), selain penyertaan Bersatu yang bergerak secara solo dan berpotensi memecahkan undi di beberapa kawasan.

“Pada pandangan saya, peluang antara PH dan BN kini agak seimbang. Apa sahaja boleh berlaku, namun ketika ini PH mempunyai sedikit kelebihan disebabkan beberapa isu yang melanda BN dan PN, selain penyertaan Bersatu yang mungkin memecahkan undi.

“Persefahaman antara BN dan PN dilihat masih longgar kerana kedua-duanya belum membawa naratif yang benar-benar selaras sepanjang kempen,” katanya.

Menurut Mazlan, antara faktor yang memberi kesan kepada kempen BN dan PN adalah isu penyelarasan naratif apabila timbul kenyataan yang dilihat bercanggah antara pemimpin kedua-dua gabungan.

Katanya, antaranya ialah cadangan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai pembentukan nama gabungan Perikatan Barisan Nasional (PBN) yang kemudiannya segera dinafikan pemimpin BN.

Selain itu, kontroversi membabitkan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut mengundang kritikan daripada parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC.

“Perkembangan itu memperlihatkan penyelarasan naratif antara BN dan PN masih belum benar-benar mantap, berbeza dengan PH yang dilihat menjalankan kempen secara lebih tersusun.

“Pada masa sama, Bersatu yang bergerak secara solo pula lebih memberi tumpuan untuk memperoleh jumlah undi yang signifikan serta memenangi beberapa kerusi yang telah disasarkan,” katanya.

Mazlan turut melihat kemunculan isu baharu pada minggu kedua kempen berpotensi mempengaruhi persepsi pengundi.

Katanya, isu berkaitan institusi diraja juga hangat diperkatakan selain laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).

“Perkembangan itu dilihat memberi sedikit tekanan kepada BN dan juga PN kerana terdapat jangkaan bahawa pendedahan RCI tersebut mungkin membabitkan pihak-pihak tertentu yang boleh memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN