Dr. Zuhan tekad jadikan Kluang bandar ilmu jika diberi mandat

Dr. Zuhan tekad jadikan Kluang bandar ilmu jika diberi mandat

ZUHAN Zain (tiga dari kiri) bersama jentera PH menggodak bubur asyura sebelum diedarkan kepada orang ramai di sekitar Taman Ilham dan Taman Indah Jaya di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Ts. Dr. Mohd. Zuhan Mohd Zain berhasrat menjadikan Kluang sebagai sebuah bandar ilmu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurut beliau, pembangunan sektor pendidikan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan pelajar malah mencipta limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Katanya, Kluang mempunyai asas kukuh untuk direalisasikan sebagai hab pendidikan kerana memiliki banyak sekolah berprestasi tinggi namun masih kekurangan institusi pengajian tinggi yang membolehkan pelajar menyambung pengajian tanpa perlu berhijrah ke bandar lain.

“Ramai anak Kluang mendapat pendidikan di sekolah-sekolah terbaik tetapi selepas tamat persekolahan mereka terpaksa keluar untuk menyambung pengajian kerana peluang itu tiada di sini.

“Sebab itu saya mahu membawa aspirasi menjadikan Kluang sebagai bandar ilmu dengan menarik institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk membuka cawangan di daerah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, usaha akan dilakukan bersama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mengadakan kerjasama dengan institusi pendidikan termasuk melalui anak syarikat universiti untuk membuka kampus atau pusat pembelajaran di Kluang.

Menurutnya, penawaran kursus juga perlu selari dengan keperluan industri masa depan dengan memberi tumpuan kepada bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pendigitalan serta teknologi baharu yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Beliau yakin langkah itu mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dari Kluang sekali gus membolehkan anak tempatan memperoleh pekerjaan bergaji tinggi tanpa perlu berhijrah ke Johor Bahru atau Singapura.

“Apabila mereka dapat bekerja di Kluang dengan pendapatan yang setanding, mereka akan memilih untuk terus menetap bersama keluarga. Secara tidak langsung mereka akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi daerah ini.

“Selain itu, kehadiran ribuan pelajar dari daerah sekitar seperti Paloh, Kahang, Mersing, Segamat, Yong Peng dan Labis akan mewujudkan permintaan terhadap rumah sewa, premis makanan, pengangkutan serta pelbagai perkhidmatan lain,” katanya.

Tambah Mohd. Zuhan, limpahan ekonomi itu bakal memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha rumah sewa dan usahawan tempatan apabila aktiviti ekonomi di bandar Kluang menjadi lebih rancak hasil pertambahan komuniti pelajar.

Dalam masa sama, beliau berkata, aspek kemudahan asas tidak akan diketepikan kerana rakyat tetap memerlukan penyelesaian terhadap isu jalan raya, sistem perparitan, banjir serta penyelenggaraan infrastruktur di kawasan DUN Mahkota.

Beliau turut memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh jaringan internet dan kemudahan digital di seluruh kawasan Kluang kerana ia menjadi antara keperluan utama dalam menyokong pembangunan bandar ilmu, pendidikan moden serta pertumbuhan ekonomi digital.

“Jika rakyat memberi kepercayaan kepada saya, fokus saya bukan sekadar menyelesaikan isu harian tetapi membina masa depan Kluang sebagai bandar ilmu yang mampu menyediakan peluang pendidikan, pekerjaan berkualiti dan meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui limpahan ekonomi yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

PROFIL CALON PH DUN MAHKOTA

Nama: Ts Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain
Umur: 47 tahun

Pendidikan

* Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sistem Maklumat – Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
* Ijazah Sarjana (Master), Teknologi Maklumat – Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
* Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer – Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Kerjaya

* Mantan Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia
* Mantan Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pelabuhan Johor
* Mantan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kluang
* Mantan Ahli Jemaah Peladang (AJP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang
* Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat (ALP), Hospital Enche Besar Hajjah Kalthom, Kluang
* *Pengerusi Syarikat Kejuruteraan Perisian (Malaysia)*
* ⁠Pengerusi Syarikat E-Dagang berpangkalan di Jepun
* Pengerusi Syarikat International Travel berpangkalan di Indonesia

Khidmat Masyarakat

* Pengerusi Pertubuhan Aktivis Merdeka
* Bantuan Banjir Negeri Johor
* Bantuan Banjir Pantai Timur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN