Biar kekal hingga habis penggal, ikut titah Raja Perlis - Ay Ling - Utusan Malaysia

Biar kekal hingga habis penggal, ikut titah Raja Perlis – Ay Ling

GAN AY LING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masalah antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diharap tidak menjejaskan pentadbiran negeri yang sebaik-baiknya kekal sehingga tamat penggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan dari Pakatan Harapan (PH), Gan Ay Ling berkata, apa jua tindakan yang bakal diambil perlu mengambil kira kepentingan rakyat.

Katanya yang juga merupakan satu-satunya wakil rakyat pembangkang di negeri ini, sebagai mana titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah perlu dikekalkan sehingga habis penggal, tanpa kacau-ganggu.

“Kedudukan rakyat perlu diambil kira sebelum membuat apa jua pertimbangan termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebarang pembubaran DUN hanya akan melibatkan kos disebalik rakyat dan pembangunan negeri perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding isu-isu lain.

“Bagi saya, apa jua berlaku antara Pas dan Bersatu, sebaik-baiknya kekal pentadbiran kerajaan negeri sehingga habis penggal. Ikut titah tuanku Raja Perlis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Masa depan hubungan Pas dan Bersatu akhirnya terjawab apabila parti Islam itu mengumumkan keputusan untuk mengakhirkan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan parti itu juga mahu meneroka kerjasama politik baharu.

Sementara itu, ditanya pendirian menyokong wakil rakyat Pas atau Bersatu, beliau enggan mengulas.

Sebaliknya kata beliau, semua ADUN perlu mengutamakan rakyat berbanding isu politik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN