Adakan pilihan raya bukan kehendak saya - Anwar - Utusan Malaysia

Adakan pilihan raya bukan kehendak saya – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan ketika ini bukan pilihan peribadi beliau.

Sebaliknya, beliau lebih memilih agar pelaksanaan PRN sama ada di Johor mahupun Negeri Sembilan ditangguhkan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negeri.

“Sekarang kita ada PRN, saya mohon semua kerja dengan tenang, jangan bermusuh. UMNO dan Barisan Nasional ada dalam kerajaan perpaduan, pening kita. Hari ini kita lawan, Rabu mesyuarat kerajaan kita duduk bersama-sama.

“Ini bukan pilihan saya, pilihan saya adalah tangguh semua PRN dan fokus kerja demi rakyat. Nak adakan PRN di Johor itu pilihan mereka, nak buat kekacauan politik itu pilihan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini, malam ini.

Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, keputusan mengadakan pilihan raya ini bukanlah perkara kecil sebaliknya akan melibatkan kehidupan jutaan penduduk khususnya di kawasan terlibat.

Pada masa sama, beliau turut mempersoal tindakan kerajaan negeri yang ‘memaksa’ rakyat Johor khususnya warga emas beratur berjam-jam hanya untuk menerima bantuan tunai RM200.

Sebaliknya, beliau berkata, pemerintahan kerajaan MADANI telah memberikan jumlah bantuan lebih besar dan kepada lebih ramai individu secara langsung menerusi akaun bank.

“Sekarang 2026 tetapi masih perlu beratur, saya pun tidak setuju. Kita bagi beribu-ribu kepada rakyat, naikkan gaji pegawai kerajaan, tiada yang terpaksa beratur.

“Bukan tidak boleh beratur tetapi kerana RM200 rakyat terpaksa, saya nak tanya mengapa buat begitu. Sumbangan Tunai Rahmah, anak sekolah semua masuk akaun, tiada yang beratur.

“Ini menunjukkan cara kita berfikir, sama ada hormat atau tidak kepada rakaat, jangan ingat rakyat itu hamba. Rakyat ada hak, ada kebebasan dan ada semangat kemerdekaan.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan kehidupan rakyat Johor akan lebih sejahtera sekiranya kepimpinan kerajaan negeri selari dengan kepimpinan di peringkat Pusat.

“Kalau kita boleh ubah wajah Johor kepada semangat PH, saya percaya pembangunan akan terus berlaku tetapi bezanya manfaat kepada rakyat akan jauh lebih baik. Sebagai contoh projek perumahan, peluang kerja bertambah tetapi perumahan rakyat perlahan.

“Kalau kita perintah, hal ini kita akan bagi keutamaan, contohnya di Selangor yang mana projek perumahan rakyat terbesar ada di negeri ini, mengapa tidak di Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN