Pemecatan ahli Bersatu cetus tanda tanya akar umbi

Pemecatan ahli Bersatu cetus tanda tanya akar umbi

KHALIQ MEHTAB MOHD. ISHAQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat dan menggantung beberapa Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu didakwa menimbulkan tanda tanya dalam kalangan akar umbi.

Ia susulan wujud dakwaan berlakunya percaturan politik serta layanan berbeza dalam pelaksanaan tindakan disiplin berkenaan.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, pemecatan membabitkan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Abdul Razak Khamis dan Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab. Ghani dilihat bukan sekadar isu disiplin semata-mata.

Katanya, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada ia berlaku selepas cadangan Presiden Bersatu untuk melucutkan jawatan kedua-dua pemimpin berkenaan atas alasan ‘tidak perform’ tidak dipersetujui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Bila cadangan tidak dipersetujui, maka jalan paling mudah ialah memecat mereka daripada parti?

“Dan jika itu berlaku, maka laluan untuk menggantikan jawatan Timbalan Speaker kepada ADUN Kota Seputih serta portfolio Exco kepada ADUN Baling akan terbuka luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan ke atas kebanyakan Ahli Parlimen Bersatu yang hanya digantung keahlian dan bukannya dipecat daripada parti.

Khaliq yang juga bekas ADUN Bertam berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kepimpinan parti bimbang pemecatan Ahli Parlimen akan memberi kesan kepada kedudukan kerusi Bersatu di Parlimen.

“Adakah wujud ‘double standard’ dalam tindakan Lembaga Disiplin?

“Yang dipecat kebanyakannya di peringkat negeri dan yang digantung pula majoritinya Ahli Parlimen. Kalau benar atas alasan disiplin, kenapa hukuman berbeza?” katanya.

Tambah beliau, perkembangan itu sebenarnya telah dijangka oleh beberapa pihak dalam parti.

Katanya, individu yang dipecat juga tidak terkejut kerana dikatakan sudah merancang untuk meninggalkan Bersatu.

“Kalau tidak dipecat sekalipun, mereka tetap akan meninggalkan Bersatu. Cuma masa yang menentukan.

“Rumah baru dikatakan sudah siap, ahli-ahli pula semakin ramai bersiap sedia, hanya menunggu masa untuk bergerak,” katanya.

Beliau mendakwa tindakan pemecatan itu juga dilihat sebagai usaha mengawal keadaan sebelum berlaku gelombang perpindahan ahli yang lebih besar.

“Akar umbi kini sedang memerhati perkembangan tersebut dan menegaskan tindakan yang diambil tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menyusun semula kedudukan untuk kelompok tertentu sahaja.

“Rakyat semakin menyedari keadaan semasa Bersatu yang menurutnya semakin lemah walaupun parti itu terus menzahirkan kekuatan,” katanya.

Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, manakala enam lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.

Mereka yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, kedua-duanya ADUN di Kedah.

Enam wakil rakyat Bersatu yang digantung keahlian pula membabitkan lima Ahli Parlimen dan seorang ADUN iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Turut dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd. Zain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN