Kerajaan Johor bakal usul cadangan ADUN lantikan - Utusan Malaysia

Kerajaan Johor bakal usul cadangan ADUN lantikan

Ling Tian Soon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor dijangka akan membentangkan cadangan memperkenalkan lima jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon mengesahkan perkara itu dan memberitahu, inisiatif tersebut bertujuan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini secara jangka masa panjang.

“Pengenalan lima ADUN lantikan ini dibuat demi masa depan negeri, supaya kita dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik serta profesional pada masa hadapan.

“Perkara ini perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim. Apabila Tuanku luluskan baharulah kita boleh buat lantikan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Petugas Media sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tian Soon yang juga Ketua Pemuda MCA turut menempelak dakwaan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menolak cadangan tersebut dengan menuduhnya sebagai satu tindakan yang mengancam sistem demokrasi negara.

Menurut Tian Soon, PH sendiri telah menerima pelaksanaan ADUN lantikan di negeri lain sebelum ini.

“PKR sendiri terima pelantikan ADUN di negeri lain. Jadi sebelum kritik kerajaan Johor, dia sepatutnya lihat parti sendiri terlebih dahulu. Di Pahang dan Sabah, mereka juga menerima ADUN lantikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung cadangan persempadanan semula kawasan DUN Johor, beliau berkata proses itu akan mengambil tempoh masa lama kerana memerlukan kelulusan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga pusat.

Semalam, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong membangkitkan isu tersebut dalam Sidang DUN Johor yang didakwa akan dilaksanakan kerajaan negeri.

Manakala Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse turut tidak bersetuju dengan langkah tersebut yang disifatkan sebagai satu cabaran terhadap legitimasi demokrasi di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×