PETALING JAYA: Pemilihan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) 2026 yang berlangsung hari ini menjadi tumpuan apabila beberapa nama disebut-sebut berpotensi menerajui kepemimpinan parti itu bagi penggal 2026-2029.
Beberapa nama disebut-sebut bakal memainkan peranan dalam kepemimpinan parti antaranya Amira Aisya Abd Aziz, Ainie Haziqah, Zaidel Baharuddin, Leben Siddarth, Zarul Afiq, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni dan Saiyidah Izzati Nur @ Cheda.
Pengarah Pemilihan Parti MUDA 2026, Muhammad Zaim Zulkafli berkata, melalui proses pemilihan itu, perwakilan parti akan memilih 25 orang anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP).
Katanya, selepas keputusan diumumkan, 25 anggota JKEP yang terpilih akan bermesyuarat untuk menentukan barisan kepemimpinan utama parti termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.
“Pemilihan ini adalah satu langkah penting untuk mematangkan demokrasi dalaman MUDA dan memastikan kepemimpinan parti lahir daripada mandat perwakilan sendiri.
“Proses ini memberi peluang kepada perwakilan parti dari seluruh negara untuk menentukan kepemimpinan yang akan menerajui MUDA bagi penggal 2026-2029,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk tidak bertanding dalam pemilihan kali ini, beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut.
Katanya, Syed Saddiq sendiri menyatakan keputusan itu dibuat kerana ingin memberi tumpuan kepada proses perundangan yang sedang dihadapinya.
“Pada masa yang sama, pemilihan ini memberi ruang kepada barisan kepemimpinan baharu untuk tampil ke hadapan dan terus memperkukuhkan parti.
“MUDA menghargai peranan beliau sebagai antara pengasas parti dan kita semua berkongsi matlamat yang sama iaitu memastikan MUDA terus bergerak ke hadapan,” katanya. – UTUSAN










