Pencapaian Kerajaan Perpaduan asas PKR tawan Kedah

Pencapaian Kerajaan Perpaduan asas PKR tawan Kedah

MOHAMMED Taufiq Johari (tengah) ketika merasmikan Kalender Mega Rakan Muda 2026 dan Program Jelajah Rakan Muda di Taman Batik, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pencapaian ekonomi negara sejak tiga tahun lalu membuktikan pendekatan Kerajaan Perpaduan berada di landasan tepat di mana perkara itu akan dijadikan teras PKR untuk menawan Kedah.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, kadar inflasi menurun serta pengangguran yang semakin berkurang juga menjadi asas untuk rakyat menilai.

“Ini menunjukkan politik prestasi mengatasi politik retorik dan rakyat hari ini lebih matang kerana mereka menilai berdasarkan hasil, bukan lagi sekadar naratif. Usaha memperkukuh parti tidak hanya bergantung kepada ceramah atau retorik politik, sebaliknya memerlukan gerak kerja tersusun di peringkat akar umbi,” katanya selepas merasmikan Kalender Mega Rakan Muda 2026 dan Program Jelajah Rakan Muda di sini, semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu mengulas keyakinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Kedah yang berpotensi untuk ditawan semula beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pernah menjadi kubu awal parti itu.

Mohammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, golongan muda menjadi antara fokus utama parti dalam membentuk masa depan negara dan pendekatan yang inklusif perlu dilaksanakan.

“Bagi mencapai hasrat itu kita akan turun ke bawah, kuatkan jentera dan pastikan agenda parti sampai kepada rakyat. Politik identiti dan politik perpecahan serta memburukkan orang lain tidak akan berkekalan,” katanya.

Katanya, keyakinan untuk menang lebih banyak kerusi di Kedah bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui pencapaian cemerlang parti berkenaan sejak dahulu lagi.

Malah pendekatan itu selari dengan kepimpinan Anwar yang menekankan keutamaan tadbir urus baik serta kestabilan ekonomi negara.

“Bagi saya pendekatan yang dibawa PKR sekarang adalah parti masa depan dan telah diterima rakyat di negeri ini. Kita mahu tunjukkan hasil kerja, kemudian biar rakyat yang menilai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN