ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diakui berdepan persepsi kerugian dalam jangka pendek susulan kekurangan bilangan Ahli Parlimen ekoran pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa pemimpin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Azman Nasrudin berkata, keadaan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan keupayaan parti untuk terus bergerak ke hadapan serta membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Rugi atau tidak kepada parti, kalau kita tengok kepada jangka pendek untuk penggal ini kemungkinan dilihat seperti rugi sebab kita kekurangan Ahli Parlimen tapi itu tidak bermakna parti tidak boleh bergerak ke hadapan.

“Bersatu bersedia untuk menghadapi PRU16, jadi segala bentuk sabotaj, tindakan yang boleh merugikan, memalukan, merosakkan imej parti mesti diambil tindakan, saya sebagai salah seorang Ahli Parlimen melihat perkara ini dan saya akur dan patuh kepada perlembagaan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 13 Februari lalu, Bersatu memecat Hamzah serta-merta kerana melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti di samping Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan tindakan sama pula ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli MPT Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub.
Azman yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berkata, pemecatan Hamzah bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui proses teratur mengikut perlembagaan parti selepas Lembaga Disiplin Bersatu menerima aduan daripada ahli.
Katanya, Hamzah telah dua kali dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan serta tuduhan yang dikemukakan, namun keputusan pemecatan dimuktamadkan selepas beliau tidak hadir pada panggilan kedua.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat berhati-hati dalam hal ini, beliau tidak masuk campur dalam tindakan Lembaga Disiplin berkenaan.
“Jadi akar umbi mahu melihat apakah tindakan Lembaga Disiplin sebab tindakan yang dibuat oleh Hamzah dan penyokongnya sangat-sangat menghina dan mencela Presiden dan parti, dan bagi Lembaga Disiplin tidak boleh diberikan lagi peluang, kali kedua dipanggil pun beliau tidak hadir maka keputusan untuk memecat dibuat,” katanya.
Mengulas jawatan Ketua Pembangkang yang disandang oleh Ahli Parlimen Larut itu, Azman berkata, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) atau Majlis Tertinggi PN untuk dibincangkan di peringkat parti-parti komponen.
“Sebab ini bukan keputusan unilateral, ini adalah keputusan bersama yang mesti ditentukan oleh keempat-empat parti PN. Jawatan Ketua Pembangkang boleh datang daripada Bersatu ataupun Pas, semua itu akan ditentukan oleh PN,” ujarnya. – UTUSAN










