UMNO tekad pulih keyakinan terhadap ATM

UMNO tekad pulih keyakinan terhadap ATM

MOHAMED Khaled Nordin menyampaikan ucapan penangguhan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO bertekad memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya melalui usaha tegas membanteras rasuah serta sebarang penyalahgunaan dan kecurangan kuasa dalam institusi pertahanan negara itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah, sebaliknya memastikan mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya mengikut undang-undang.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, semua pihak perlu bersikap adil dan munasabah dalam menilai institusi ketenteraan negara dan tidak menghukum keseluruhan ATM hanya disebabkan kes terpencil melibatkan segelintir individu.

“Siapa sahaja yang mencemar nama baik Angkatan Tentera Malaysia bukanlah cerminan akhlak dan kewibawaan sebenar ATM.

“Masih terdapat ratusan ribu anggota ATM di seluruh negara yang berintegriti, ikhlas berkhidmat serta sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan tanah air. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Janganlah hanya kerana kesalahan segelintir pihak, keseluruhan ATM dipandang serong,” katanya ketika pergulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, komitmen UMNO untuk mempertahankan maruah dan integriti ATM akan terus diperkukuh melalui dasar, ketegasan politik dan iltizam kepimpinan demi memastikan institusi pertahanan negara kekal dihormati dan diyakini rakyat.

“Namun, sejak akhir-akhir ini, kepercayaan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia dilihat terjejas dan semakin terhakis susulan beberapa siasatan serta penahanan melibatkan segelintir pegawai ATM sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, siasatan-siasatan berkenaan didapati mempunyai hubung kait dengan isu integriti yang secara tidak langsung memberi kesan kepada persepsi awam terhadap institusi pertahanan negara.

Katanya, tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ATM secara keseluruhan, walaupun hakikatnya majoriti anggota pasukan keselamatan itu kekal berdisiplin, berintegriti dan setia berkhidmat kepada negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN