KUALA LUMPUR: UMNO mencadangkan Akta Perlindungan Guru Malaysia diwujudkan untuk melindungi kebajikan guru, khususnya daripada segi pelaksanaan beban tugas, keselamatan serta hak profesional mereka.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan zaman telah memberi cabaran besar kepada profesion perguruan sehingga wujud tindakan daripada ibu bapa kepada warga pendidik.
“Jika dahulu guru yang merotan murid akan disokong oleh ibu bapa, namun situasi kini amat berbeza. Pada masa lalu, apabila anak mengadu dimarahi atau dirotan guru, ibu bapa akan menyoal anak berapa kali mereka ditegur, malah ada yang menambah hukuman sebagai pengajaran.
“Namun hari ini, apabila anak mengadu, persoalan pertama yang timbul ialah siapa cikgu tersebut. Tindakan guru menegur atau merotan murid boleh membawa kepada laporan polis atau tindakan undang-undang, sekali gus menjejaskan autoriti dan keberanian guru dalam mendidik,” katanya dalam ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa guru-guru di Malaysia perlu diberi perlindungan undang-undang yang sewajarnya agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab mendidik dengan berkesan tanpa rasa takut atau tertekan.
Katanya, perubahan ke arah yang lebih baik perlu dilakukan, bukan untuk kembali ke cara lama sepenuhnya, tetapi bagi memastikan disiplin, kebajikan guru dan kualiti pendidikan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, UMNO menuntut agar mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebagai instrumen penting dalam menilai tahap penguasaan akademik murid dan pelajar secara lebih tersusun.
“Saya mahu sokongan perwakilan supaya perkara ini diterapkan dalam Majlis Peperiksaan dan saya mahu tanggungjawab kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk membawa mandat dalam majlis ini,” katanya. – UTUSAN










