KUALA LUMPUR: UMNO perlu memainkan peranan tegas dalam Kerajaan Perpaduan dengan menolak sebarang persempadanan semula yang hanya menguntungkan kawasan bukan Melayu, sehingga menambah representasi pihak tertentu dalam Parlimen.
Jurucakap wakil UMNO Pulau Pinang, Mohd Noor Ahmad berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilaksanakan dengan teliti dalam memastikan kawasan Parlimen majoriti Melayu tidak terus terhakis akibat pembangunan tidak terkawal.
Katanya, perkara tersebut pernah berlaku sejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di negeri berkenaan sejak tahun 2008 sehingga mengubah komposisi demografi.
“Sebagai contoh Bayan Baru yang sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Melayu, malah masih diwakili wakil rakyat Melayu sehingga 2008.
“Hari ini, status itu semakin terhakis akibat pembangunan yang tidak terkawal,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.
Tambah beliau, beberapa kawasan lain termasuk Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Permatang Pauh dan Nibong Tebal juga dilihat berisiko kehilangan identiti sebagai kawasan Parlimen Melayu sekiranya isu tersebut tidak ditangani secara serius.
Sementara itu, Mohd. Noor yang mengulas kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan berkata, beliau menolak dakwaan kononnya UMNO hanya menjadi ‘melukut di tepi gantang’ kerana memiliki 26 Ahli Parlimen.
Katanya, pengaruh UMNO tidak boleh diukur semata-mata melalui bilangan kerusi, sebaliknya melalui keupayaan parti itu mempengaruhi dasar dan keputusan kerajaan.
“Penangguhan cadangan Pembaharuan Semula Bandar (URA), kegagalan mengiktiraf UEC dan penolakan cadangan pilihan raya PBT membuktikan keberadaan UMNO dalam kerajaan memberi kesan langsung dalam mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam,” katanya. – UTUSAN










